• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Ibadah Korban Sucikan Jiwa, Erat Silaturahim


HULU TERENGGANU, 1 Ogos- Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik dan  wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, walaupun dengan ‘kekangan’ prosedur operasi standard (SOP), namun ibadah korban dapat dilaksanakan dengan sempurna demi menghidupkan syiar Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S.

"Jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat.

"Ini kerana ibadah korban memberi impak tinggi terhadap sosial masyarakat dengan mengeratkan hubungan silaturahim antara adik-beradik, jiran tetangga, sahabat handai dan ramai lagi.

"Ibadah korban merupakan rahmat Allah SWT kepada manusia tanpa mengira pangkat, darjat, usia dan bangsa,"ujarnya.

Menurut Maliaman, korban juga mendidik manusia memberi sesuatu yang terbaik dan bernilai kepada orang yang dikasihinya.

"Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan.

"Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik,"tambah beliau.