• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ibrah Quran Petunjuk Buat Umat Islam

SETIU, 12 Jun - Umat Islam perlu menekuni kupasan dan tafsir Al-Quran bagi memastikan perjalanan kehidupan sentiasa di landasan yang betul.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata ibrah (pengajaran) dari firman Allah s.w.t tidak hanya buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia.

"Al-Quran adalah kitab yang lengkap. Di dalamnya ada peraturan, nasihat, peringatan dan juga memaparkan kisah umat terdahulu sebagai pengajaran kepada kita.

"Semoga muslimin dan muslimat yang hadir pada program hari ini dapat memanfaatkan sebaiknya program hari ini," tambahnya.

Beliau berkata sedemikian ketika ucapan perasmian penutup Program Menelusuri Ibrah Qurani anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Masjid Chalok Kedai pagi semalam.

Sementara itu, Mohd Fahmi Mohd Fajri, pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Agama Setiu (SMAS) berkata program sebegini amat memberi manfaat dan mudah untuk memahami apa yang disampaikan.

"Terima kasih kepada pihak penganjur yang turut menjemput kami. Semoga program keagamaan sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang," tambah beliau.

Program Menelusuri Ibrah Qurani edisi keenam ini menampilkan 3 orang qari yang membaca surah Al-Hajj iaitu Syeikh Dr. Mohamed Abdel Hamid Kulaib Syeikh Ali Rashed Ghanem Al-Musannef dan Ustaz Abdul ‘Alim Zakaria.

Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail pula berperanan sebagai pentadabbur.

 


Tag: