• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Ibu Bapa Disaran Daftar Anak OKU Dengan JKM


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 11 November- Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dan dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) disaran mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan anak mereka menikmati pelbagai manfaat dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

Ahli Jawatankuasa Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS(Khairunnisa’), Hajah Rugayah Mahmood berkata, ibu bapa seharusnya mengikis perasaan malu bagi  memastikan anak istimewa dianugerahkan Tuhan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

“Tidak semua ibu bapa atau penjaga yang mahu mendaftar anak-anak OKU mereka dengan JKM.

"Sedangkan jika berdaftar dengan JKM, anak istimewa ini akan dilatih mengikut tahap mereka sehingga ada yang lebih pandai berbanding insan biasa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas Khairunnisa’ mengadakan ziarah prihatin ke Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rantau Abang dan Sura, semalam.

Rugayah berkata, lawatan itu bertujuan melihat lebih dekat dan mengenalpasti kerjasama yang boleh dijalinkan oleh Khairunnisa’ dengan PPDK di DUN masing-masing.

"Antaranya adalah untuk menambahbaik dan meningkatkan prasarana dan kemudahan di PPDK untuk keselesaan pelatih-pelatih,” ujarnya.

Sementara itu , Penyelia PPDK Bandar Dungun, Noor Azita Ismail berkata, PPDK tersebut ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah seliaan JKM Daerah Dungun.

"Kini pelatih OKU disini adalah seramai 85 orang yang mana 50 orang hadir ke PDK dan 35 orang mengikuti program lawatan susulan di rumah,” ujarnya.

Beliau yang telah 13 tahun mencurah bakti di situ dibantu lapan guru yang gigih dan berdedikasi dalam menunjuk ajar pelatih-pelatih selain ahlijawatankuasa yang sangat mengambil berat terhadap pelatih di PPDK itu.

Manakala PPDK Bukit Merah di DUN Rantau Abang yang mempunyai 29 pelatih pula diselia oleh Yusmanifariza Mohamad.

Menurut Yusmanifariza, pihaknya hanya membuat lawatan ke tujuh buah rumah pada setiap Khamis dan pelatih yang lain mampu hadir ke kelas.

“Memandangkan di PPDK ini pelatih OKU hanya yang mempunyai masalah pembelajaran, ada yang datang sendiri tanpa perlu dihantar oleh penjaga,” ujarnya.


Tag: