KUALA TERENGGANU, 1 September - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu merekodkan 232 permohonan kes daftar lewat sijil kelahiran (DLSK) sejak awal Januari 2022 hingga Julai lepas, kata Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem.
Beliau berkata rata-rata kes DLSK melibatkan kurang kesedaran ibu bapa sebaik kelahiran mereka apabila membiarkan anak-anak tanpa sebarang dokumen.
Katanya, antara alasan yang sering diberikan pemohon ketika mengemukakan permohonan di JPN adalah masalah pengangkutan dan kewangan.
“Ada juga segelintir yang memberi alasan masalah keluarga namun masalah sebenarnya akan lebih meruncing apabila kanak-kanak kian membesar dan hendak masuk persekolahan. Ketika itu akan ada masalah sebab tak ada dokumen kelahiran,
"Pernah berlaku satu kes pada tahun 2010 apabila seorang individu mendaftar kelahiran pada usia 60-an menyebabkan pelbagai kesulitan berlaku. Bagaimanapun, pihak kami tetap memproses permohonan itu hingga berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam.
Menurut Mohamad Nasir, program MEKAR merupakan salah satu kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk segera melakukan pendaftaran kelahiran.
“Kita menggalakkan penduduk melakukan pendaftaran kelahiran awal iaitu dalam tempoh 60 hari selepas dilahirkan bagi memudahkan mereka mendapat sijil kelahiran.
“Sekiranya pendaftaran dilakukan selepas tempoh itu, ia akan dikategorikan sebagai daftar lewat dan prosesnya perlu dilakukan dengan cara berbeza serta sedikit sukar kerana perlu diperhalusi terlebih dahulu selain dikenakan bayaran RM50,”ujarnya lagi.
Tambahnya, tanpa dokumen pengenalan seseorang sukar untuk melakukan pelbagai aktiviti berkaitan terutama bagi kanak-kanak yang bakal ke alam persekolahan.
"Mereka berdepan kesukaran ketika melakukan urusan bank, lesen, atau mendapatkan pekerjaan juga akan melalui jalan sukar.
"Sekiranya berlaku kematian, mereka yang tidak ada pengenalan diri juga berdepan dengan masalan proses pengebumian kerana pihak kami tidak boleh mengeluarkan sijil kematian berikutan tiada sijil kelahiran,”jelas beliau.