• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Indahnya Hidup Bersyariat, Jadi 'Trademark' Dakwah Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 Januari- Kerajaan negeri mengangkat slogan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ sebagai ‘trademark’ agenda dakwah sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ianya simbolik kepada salah satu Teras Strategik Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan dan pelaksanaan Syariah Terengganu. 

“Pemasyhuran tema rasmi 'Indahnya Hidup Bersyariat' akan terus disemarakkan dan akan diperluaskan ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Garapan dan impak daripada ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ diharapkan bakal menterjemahkan suasana beragama dan penghayatan undang- undang Islam dalam setiap golongan dan lapisan masyarakat.

“Antaranya melalui Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS), Pahlawan Subuh, Kempen Solat Berjemaah, Kempen Tutup Aurat Dengan Sempurna, Penutupan Premis Ketika Waktu Solat Jumaat, Pindaan-pindaan terbaharu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat Dan Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Peringkat Negeri yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis tersebut, turut dimasyhurkan logo rasmi 'Indahnya Hidup Bersyariat', hebahan pemakaian Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2022 yang mula berkuatkuasa 1 Januari lalu, serta pelancaran Bulan Penghayatan Solat (BPIS) dan pelancaran Terengganu Hijab Day. 

Katanya, program-program tersebut menterjemahkan usaha pihak kerajaan negeri yang tidak pernah berhenti meninggikan syiar Islam di bumi Darul Iman ini.