KUALA TERENGGANU, 12 September – Program bakti siswa bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan, sebaliknya menjadi medan penting bagi mahasiswa dan mahasiswi mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti dalam kehidupan sebenar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, pengalaman turun ke lapangan memberi peluang kepada mahasiswa mengenali realiti kehidupan masyarakat secara lebih dekat selain membina keyakinan dan kemahiran berinteraksi dengan masyarakat.
Menurutnya, ilmu yang diperoleh di bilik kuliah akan menjadi lebih bermakna apabila dapat diterjemahkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bakti Siswa Sinergi Komuniti Permata yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kampung Buluh Gading, semalam.
Katanya, program seumpama itu turut memberi pengalaman berharga kepada mahasiswa untuk menyelami permasalahan masyarakat secara langsung dan tidak hanya bergantung kepada pengetahuan yang diperoleh melalui teori atau media.
“Melalui program seumpama ini akan melatih anak-anak bagaimana kita berinteraksi dengan masyarakat, bagaimana kita menyelami masalah-masalah yang dihadapi di peringkat bawah secara realiti.
“Ilmu yang kita perolehi di bilik kuliah lebih bermakna apabila manfaatnya dirasai oleh masyarakat, bukan untuk diri dan keluarga semata-mata,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ridzuan berkata, pengalaman melalui program kemasyarakatan juga penting dalam membentuk generasi pelapis kepimpinan yang lebih yakin dan tidak kekok apabila berhadapan dengan masyarakat selepas menamatkan pengajian.

Beliau berkata, pengalaman mengurus mesyuarat, menyediakan kertas kerja serta menganjurkan program merupakan kemahiran yang perlu dibina sejak di bangku universiti sebagai persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat pengajian.
“Program seperti ini mengasah bakat kepimpinan anak-anak sekalian. Nanti apabila tamat pengajian dan berada di lapangan masyarakat, kita tidak rasa kekok dan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mahasiswa dan mahasiswi Permata USIM serta JPKK Kampung Buluh Gading dan Kampung Buluh Gading Dewan yang menjadi tuan rumah bagi program berkenaan.
Program Bakti Siswa Sinergi Komuniti Permata berlangsung selama tiga hari dan turut melibatkan mahasiswa ditempatkan bersama keluarga angkat bagi memberi pengalaman lebih dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.
Ridzuan juga berharap program tersebut dapat mencapai objektif yang digariskan serta meninggalkan pengalaman bernilai kepada mahasiswa sebagai bekalan untuk menjadi pelapis kepimpinan pada masa hadapan.