MARANG, 24 Ogos – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh menyifatkan perkembangan Pusat Pemulihan Darul Barakah sebagai satu peningkatan yang baik hasil pelaksanaan pelbagai pendekatan pemulihan kepada para pelatih.
Beliau berkata, usaha pemulihan perlu diperkasa dengan memberi penekanan kepada persediaan pelatih untuk kembali ke dalam masyarakat selepas tamat menjalani program di Darul Barakah.
“Alhamdulillah, satu peningkatan yang baik bagi Darul Barakah kerana menerapkan pelbagai kaedah kepada pelatih yang berada di sini. Namun, perkara ini perlu ditambah baik supaya apabila mereka keluar nanti, mereka boleh bergaul, bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita semasa beliau mengunjungi pusat pemulihan dadah holistik Terengganu itu, baru-baru ini.
Menurut Ruslin, aspek kemahiran juga perlu diberikan perhatian menerusi latihan vokasional, aktiviti berkebun serta pendedahan kepada aktiviti di luar pusat pemulihan bagi membantu membina keyakinan dan kemahiran pelatih.
Beliau turut berharap Darul Barakah terus berkembang dan bergerak ke hadapan dalam melaksanakan usaha pemulihan yang memberi manfaat kepada para pelatih.
Sementara itu, Pengerusi Perkampungan Darul Barakah, Nor Alif Mahari, berkata kunjungan Ketua Pengarah AADK Kebangsaan ke pusat berkenaan turut membuka ruang kerjasama khususnya dalam aspek pemulihan.
Katanya, antara cadangan yang dikemukakan ialah Darul Barakah mengadaptasi sebahagian silibus pemulihan yang digunakan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) untuk disesuaikan dengan keperluan pelatih di Darul Barakah.
“Beliau minta Darul Barakah adakan kerjasama, terutama dari sudut silibus pemulihan. Kita tidak perlu mengambil semuanya, mungkin sebahagian daripada silibus PUSPEN boleh kita terapkan dan adaptasi di Darul Barakah,” katanya.
Dalam pada itu, Alif berkata aspek integriti turut menjadi antara perkara utama yang ditekankan oleh Ruslin, khususnya dalam memastikan pusat pemulihan bebas daripada kemasukan bahan larangan.
Beliau berkata, sepanjang hampir lima tahun Darul Barakah beroperasi, pihaknya sentiasa memastikan tiada bahan larangan dibawa masuk ke pusat berkenaan.
Katanya, pemantauan dan pemeriksaan mengejut turut dilaksanakan secara berkala oleh pihak AADK, termasuk ujian air kencing terhadap pelatih dan pengurusan.
“Alhamdulillah, semuanya clear. Itu satu perkara yang positif di tempat kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AADK Negeri dan AADK Persekutuan atas kesudian mengadakan kunjungan serta sesi pertemuan bersama pihak Darul Barakah.
Menurutnya, kunjungan tersebut amat bermakna dalam memperkukuh hubungan dan membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara Darul Barakah dengan AADK dalam usaha membantu proses pemulihan serta reintegrasi pelatih ke dalam masyarakat.