Berita :
Dr. Sam Tokoh Baru Paling Diterima Rakyat, Atasi Anwar dan Muhyiddin - Kajian
Dr. Sam Tokoh Baru Paling Diterima Rakyat, Atasi Anwar dan Muhyiddin - Kajian
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar muncul sebagai antara pemimpin politik paling menonjol dalam kalangan pengundi Melayu berdasarkan dapatan terbaharu kajian Merdeka Center berhubung penarafan pemimpin negara.

Berdasarkan analisis menggunakan ukuran net approval, iaitu perbezaan antara kadar puas hati dan tidak puas hati terhadap seseorang pemimpin, Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr. Sam merekodkan +22 mata.

Angka itu diperoleh hasil 48 peratus responden yang menyatakan puas hati terhadap beliau, berbanding hanya 26 peratus yang tidak berpuas hati.

Kedudukan tersebut meletakkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu di tangga kedua keseluruhan selepas bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mencatatkan net approval tertinggi sebanyak +36 mata.

Khairy merekodkan kadar puas hati 62 peratus dan tidak puas hati 26 peratus. 

Namun, bekas Ahli Parlimen Rembau itu ketika ini tidak memegang sebarang jawatan kepimpinan dalam mana-mana gabungan politik utama negara selain telah lama memegang jawatan di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya, Dr Sam kini hanya mengetuai kerajaan negeri Terengganu, di samping baru memegang peranan penting sebagai Pengerusi PN ketika gabungan itu sedang menyusun semula strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mencatatkan kadar puas hati sebanyak 49 peratus, sedikit lebih tinggi daripada Dr. Sam.

Namun, kadar tidak puas hati terhadap Bekas Perdana Menteri itu turut tinggi iaitu 43 peratus, menyebabkan beliau hanya memperoleh net approval sebanyak +6 mata.

Menurut penganalisis politik dan Felo Future Research, Muhammad Afifi Abdul Razak, perbezaan tersebut memberi gambaran penting terhadap tahap penerimaan sebenar seseorang pemimpin.

Katanya, dalam politik moden, ukuran net approval sering dianggap lebih bermakna kerana ia bukan sekadar melihat jumlah penyokong, tetapi turut mengambil kira tahap penolakan terhadap seseorang tokoh.

“Pemimpin yang mempunyai sokongan tinggi tetapi turut berdepan kadar penolakan besar lazimnya berdepan kesukaran untuk menarik sokongan pengundi atas pagar ketika pilihan raya.

“Sebaliknya, Dr. Sam dilihat mempunyai gabungan penerimaan yang baik serta kadar penolakan yang rendah, sekali gus memberikan ruang lebih luas untuk menarik sokongan pengundi sederhana,” katanya dalam satu artikel yang diterbitkan Sinar Harian hari ini.

Dapatan itu meletakkan Dr. Sam dalam kedudukan menarik, khususnya ketika PN masih mencari wajah utama yang mampu menembusi kelompok pengundi Melayu sederhana dan pengundi muda.

Dalam kajian sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merekodkan net approval negatif enam mata apabila 45 peratus responden menyatakan puas hati, berbanding 51 peratus tidak puas hati.

Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula mencatatkan net approval negatif 12 mata.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berada pada kedudukan paling rendah dengan net approval negatif 29 mata.

Muhammad Afifi berkata, jika perbandingan dibuat dalam kalangan pemimpin utama tiga gabungan politik negara, PN, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), Dr Sam muncul sebagai tokoh yang mencatatkan net approval tertinggi.

Menurut beliau, dapatan Merdeka Center itu juga selari dengan beberapa kajian terdahulu Future Research yang menunjukkan Dr. Sam sering tersenarai sebagai antara pemimpin berimej positif dalam kalangan pengundi Melayu dan golongan muda.

Perkembangan ini hadir ketika PN sedang menilai hala tuju dan strategi politik menjelang PRU16, termasuk kedudukan PAS sebagai parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam gabungan berkenaan.

PAS ketika ini bukan sahaja menjadi penyumbang utama dari segi kerusi dalam PN, malah turut mempunyai tokoh yang mencatatkan tahap penerimaan tinggi dalam kalangan pengundi Melayu.

“Sebagai Menteri Besar Terengganu, Dr. Sam berjaya membina reputasi sebagai pemimpin yang berorientasikan prestasi, teknokratik serta kurang terpalit dengan kontroversi politik nasional,” kata Muhammad Afifi.

Beliau berkata, faktor usia yang lebih muda, imej sederhana serta kadar penolakan yang rendah menjadikan Dr Sam antara tokoh yang berpotensi diketengahkan sebagai wajah utama PN pada pilihan raya akan datang.

Berbanding beberapa pemimpin lama yang masih mempunyai pengaruh tetapi turut membawa beban persepsi dan penolakan tinggi, Dr. Sam dilihat mempunyai ruang lebih luas untuk diterima oleh pengundi atas pagar.

Dalam konteks politik Melayu, dapatan ini memberi isyarat bahawa penerimaan terhadap seseorang pemimpin tidak lagi hanya bergantung kepada nama besar atau pengalaman lama dalam kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, imej bersih, pendekatan sederhana, rekod pentadbiran negeri dan kemampuan mengurangkan penolakan awam semakin menjadi faktor penting dalam membentuk persepsi pengundi.

Berdasarkan data semasa, Dr. Sam bukan sahaja mendahului kebanyakan pemimpin utama negara dari segi net approval, malah berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju PN menjelang PRU16.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan