Jalur Gemilang
Berita :
Festival Kaligrafi Islam Terengganu Tarik 470 Peserta
Festival Kaligrafi Islam Terengganu Tarik 470 Peserta
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 20 September - Festival Kaligrafi Islam semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat apabila menerima penyertaan seramai 470 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pertandingan Kategori Penulisan Khat Spontan pada tahun ini mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu 371 peserta. 

"Daripada jumlah itu, subkategori Karya Terbuka Spontan Sekolah Menengah mencatatkan 142 peserta.

"Manakala kategori Karya Terbuka Spontan Sekolah Rendah mencatatkan 102 peserta dan baki seramai 127 lagi merupakan penyertaan daripada pelbagai sekolah di luar negeri Terengganu bagi Karya Terbuka Spontan,"ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Festival Kaligrafi Islam Terengganu Kali Ke-2, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam , di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, selain ramai yang menyertai kategori spontan, medan persaingan turut dihebatkan dengan 99 peserta yang telah menumpukan kreativiti dan bakat menerusi Kategori Penulisan Karya Siap Khat Kanvas dan Khat Batik.

"Syabas kepada para penulis khat, pelukis, dan peserta pertandingan yang mempamerkan bakat luar biasa, karya-karya yang dihasilkan sepanjang festival ini memperlihatkan disiplin tinggi dan kehalusan seni yang memukau.

"Kepada para pemenang tahniah saya ucapkan, jadikan kemenangan ini sebagai galakan untuk terus berkarya. Kepada yang belum berjaya, teruskan berusaha kerana proses menuntut ilmu seni ini adalah satu ganjaran pahala yang berterusan,"ujar beliau.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan