lightning-solid
Berita :
Isu Benih Padi Sah: Terengganu Desak Kuasa Lesen Diberikan Kepada Syarikat Tempatan
Isu Benih Padi Sah: Terengganu Desak Kuasa Lesen Diberikan Kepada Syarikat Tempatan
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
79

KUALA TERENGGANU, 9 Julai  – Kerajaan Negeri Terengganu mendedahkan bahawa pengurusan dan rantaian bekalan Benih Padi Sah di negeri ini sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), tanpa penglibatan agensi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, setakat ini terdapat 12 syarikat pembekal benih padi sah yang dilesenkan oleh kementerian di seluruh negara, namun tiada satu pun syarikat yang berasal dari Terengganu.

Menurut beliau, situasi tersebut mencetuskan rantaian logistik yang tidak efisien memandangkan Terengganu sebenarnya mempunyai kapasiti pengeluaran yang besar.

"Di Terengganu, kita ada kawasan sawah seluas 500 hektar yang dikhususkan untuk menghasilkan padi benih. Namun, apabila padi benih ini dituai, ia terpaksa dihantar jauh ke Johor untuk diproses oleh Syarikat Gerbang Selatan.

"Apabila tiba musim menabur, benih yang telah diproses itu dibawa semula ke Terengganu untuk kegunaan pesawah kita," katanya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau turut menyatakan kekesalan kerana usaha untuk membolehkan sekurang-kurangnya satu syarikat tempatan Terengganu mendapat lesen sebagai pembekal sah masih belum membuahkan hasil, meskipun negeri itu sudah mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap.

"Kita sudah ada Loji Pemprosesan Benih Padi di Ajil, Hulu Terengganu. Infrastruktur sudah sedia, tetapi malangnya belum ada syarikat dari Terengganu yang diberikan lesen benih padi sah," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Dr. Azman turut menitipkan pesanan penting kepada para pesawah di negeri itu agar lebih berhati-hati sebelum memulakan proses penanaman bagi mengelakkan kerugian sekiranya berlaku isu kualiti.

Beliau mengingatkan bahawa setiap guni benih padi sah dilengkapi dengan tag berwarna biru yang mengandungi maklumat kritikal seperti nama syarikat pembekal, varieti padi, dan lokaliti sawah asal benih tersebut diambil.

"Penting untuk para petani mengambil dan menyimpan tag biru ini sebelum merendam guni benih padi. Jangan rendam sekali sekiranya mahu hak mereka terpelihara.

"Jika timbul masalah biasa seperti benih tidak bercambah, masalah padi angin, atau kualiti benih tidak sama seperti yang dilabelkan, pesawah mempunyai hak mutlak untuk menuntut ganti rugi daripada syarikat pengeluar," tegasnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedia mempertahankan nasib para pesawah sekiranya pihak pembekal enggan bertanggungjawab.

"Kalau syarikat pembekal tak nak ganti, beritahu kepada saya. Nanti kita akan ambil tindakan selanjutnya," ujarnya yang tegas mempertahankan hak warga tani Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan