Jalur Gemilang
Berita :
Lamanita Galak Wanita Jana Pendapatan Menerusi Ternakan Ayam Penelur
Lamanita Galak Wanita Jana Pendapatan Menerusi Ternakan Ayam Penelur
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
102

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU, 25 September - Golongan wanita digalak meneroka peluang ekonomi menerusi projek ternakan ayam penelur sebagai usaha menjana pendapatan keluarga. 

Pengarah Urusetia Wanita Terengganu (USWA), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, wanita perlu mempunyai keupayaan mencari sumber pendapatan yang boleh diusahakan mengikut kemampuan masing-masing.

“Kaum wanita kena pandai mencari sumber untuk menampung kos perbelanjaan. Program ini mengajar supaya mereka berdikari dan mampu mengusahakan sesuatu dalam menghasilkan sumber untuk keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Lamanita Terengganu 2026 (Penternakan Ayam Penelur) anjuran USWA yang disertai 100 peserta di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, hari ini. 

Roslina berkata, pendedahan terhadap bidang ekonomi dan keusahawanan penting bagi meningkatkan keyakinan wanita untuk membina sumber pendapatan tanpa bergantung kepada satu punca sahaja.

Katanya, projek ternakan ayam penelur turut memberi peluang kepada peserta mempelajari asas pengurusan dan pengusahaan yang berpotensi dikembangkan sebagai sumber ekonomi keluarga.

“Usaha ini diharap dapat membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk memanfaatkan kemahiran dan sumber yang ada bagi menghasilkan pendapatan secara konsisten,” ujarnya.

Justeru katanya, Program Lamanita Terengganu 2026 diharap menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif yang dapat melahirkan wanita berdikari, berkemahiran dan berdaya saing dalam bidang ekonomi sekali gus memperkukuh peranan mereka sebagai penyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan