Berita :
Pemantapan Bacaan Al-Quran Perkasa Peranan Imam dan Bilal
Pemantapan Bacaan Al-Quran Perkasa Peranan Imam dan Bilal
Mohd Haniff Abas
1 hari yang lepas
97

KUALA NERUS, 2 Julai – Program Pemantapan Bacaan Imam dan Bilal julung kali diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha memperkukuhkan kemahiran bacaan al-Quran dalam kalangan imam dan bilal, khususnya dari aspek tajwid, makhraj serta sifat-sifat huruf.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, program tersebut bertujuan memastikan bacaan Al-Quran yang diperdengarkan ketika memimpin solat sentiasa tepat, fasih dan menepati hukum-hakam tajwid, sekali gus meningkatkan kualiti kepimpinan ibadah di masjid dan surau.

Katanya, walaupun para peserta telah mempunyai asas bacaan yang baik, program pemantapan seperti ini dilihat penting bagi memperbaiki kelemahan yang mungkin wujud, termasuk kesalahan pada baris yang boleh mengubah makna ayat, kesilapan pada syaddah serta sebutan makhraj huruf.

“Penganjuran program turut melibatkan para bilal memandangkan mereka merupakan individu yang sering menggantikan imam apabila diperlukan. Oleh itu, bilal juga perlu sentiasa bersedia untuk memimpin solat dengan bacaan yang tepat dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemantapan Bacaan Imam dan Bilal DUN Buluh Gading yang diadakan di Masjid Ar Rahman, Kampung Kubang Jela, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat DUN Buluh Gading (PKMDBG) dengan Kolej Al Quran Terengganu (KQT) serta Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan dihadiri oleh 38 peserta.

“Penganjuran program julung kali itu diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan ilmu dan pemerkasaan Al-Quran pada masa hadapan, sekali gus melahirkan lebih ramai imam dan bilal yang berkualiti serta berkeyakinan dalam memimpin ibadah,”  ujarnya lagi.

Beliau juga berharap agar program seumpama ini turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan imam dan bilal bagi memastikan syiar Islam terus diperkasakan melalui penyampaian bacaan Al-Quran yang berkualiti kepada masyarakat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan