Jalur Gemilang
Berita :
Perkukuh Pendidikan Fardu Ain Sejak Usia Kecil
Perkukuh Pendidikan Fardu Ain Sejak Usia Kecil
Amirul Mohd
23 jam yang lepas
91

HULU TERENGGANU , 10 September - Pendidikan Fardu Ain perlu diterapkan kepada anak-anak sejak usia kecil sebagai asas pembentukan iman, akhlak dan keperibadian yang kukuh.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendidikan Fardu Ain bukan sekadar mengajar ibadah sebaliknya merangkumi aspek iman, akhlak dan amalan yang menjadi pendinding kepada seseorang dalam menjalani kehidupan.

“Fardu Ain wajib atas tiap-tiap orang sejak kecil lagi. Sekurang-kurangnya diajar Fardu Ain yang berkaitan dengan amalan, berkaitan dengan akhlak dan berkaitan dengan iman,” katanya ketika berucap pada Program Perasmian Kompleks PASTI Hijau, Kuala Berang.

Mengulas kepentingan pendidikan anak-anak sejak kecil, beliau berkata Islam memberikan perhatian besar terhadap proses mendidik kanak-kanak, termasuk mengajar mereka menunaikan solat apabila mencapai usia tujuh tahun.

Katanya, pendidikan dan disiplin yang diterapkan ketika kecil bertujuan membentuk anak-anak supaya memahami tanggungjawab agama serta membina keperibadian mereka.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden PAS berkata, masyarakat juga perlu memahami bahawa Fardu Kifayah mempunyai skop yang jauh lebih luas dan tidak seharusnya dilihat hanya dalam konteks pengurusan jenazah.

“Orang Islam hari ini ingat Fardu Kifayah sembahyang mayat satu saja. Padahal seluruh keperluan hidup kita ini Fardu Kifayah. Orang Islam mesti menguasai,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai bidang termasuk ekonomi, perbankan, kejuruteraan dan keperluan kehidupan masyarakat perlu dikuasai oleh umat Islam bagi memastikan wujud golongan yang mampu memenuhi keperluan masyarakat.

"Apabila seseorang mempunyai asas Fardu Ain yang kukuh sejak kecil, nilai tersebut akan menjadi panduan apabila mereka dewasa dan memegang pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan.

“Bila dia besar, dia jadi pemimpin, jadi guru, jadi ketua keluarga, penjawat pejabat dan sebagainya. Fardu Ain ada pendinding dia. Barulah dapat jadi orang yang baik. Dia buat kerja, tak rasuah, tak khianat kerana Fardu Ain menjaga dia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab utama mendidik anak-anak bermula daripada keluarga, khususnya ibu bapa. 

"Asasnya di rumah. Ibu bapa kena faham kepentingan pendidikan anak-anak," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata institusi pendidikan Islam seperti PASTI turut memainkan peranan membantu ibu bapa dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak.

Menurutnya, kesibukan ibu bapa dengan pekerjaan tidak seharusnya menyebabkan tanggungjawab mendidik dan mengawasi anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pihak lain.

Justeru, beliau menyeru ibu bapa supaya memberikan perhatian sewajarnya terhadap pendidikan agama anak-anak sejak kecil agar mereka membesar sebagai generasi yang mempunyai iman, akhlak dan keperibadian yang baik.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan