lightning-solid
Berita :
SATU Buru Rekod MBOR Tawan Gunung Kinabalu
SATU Buru Rekod MBOR Tawan Gunung Kinabalu
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
70

KUALA TERENGGANU,22 Julai -  Keazaman 35 warga kerja Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) untuk menawan puncak Gunung Kinabalu bukan sekadar cabaran lasak, malah membawa misi lebih besar memburu pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ekspedisi yang dianjurkan bersama Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan SATU (KSKK) pada 22 hingga 23 Julai ini dijangka mencatat sejarah sebagai pendakian berkumpulan paling ramai oleh kakitangan operator air di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), Ts. Abdul Karim Endut, berkata 
sekiranya berjaya, SATU bakal menjadi operator air pertama di Malaysia yang menghimpunkan penyertaan seramai 35 kakitangan menawan puncak gunung tertinggi negara dalam satu ekspedisi yang diselaraskan oleh organisasi sama.

"Berdasarkan semakan pihak penganjur, sehingga kini belum ada rekod seumpamanya direkodkan oleh mana-mana syarikat atau operator air di Malaysia.

" Misi itu bukan sahaja bertujuan mencipta nama dalam MBOR, malah menjadi simbol kesungguhan SATU membina budaya kerja yang berteraskan semangat berpasukan, ketahanan fizikal dan mental serta kesejahteraan warga kerjanya," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Tambah Abdul Karim, bagi memenuhi syarat pengiktirafan MBOR, SATU akan menyediakan dokumentasi lengkap merangkumi senarai rasmi peserta yang disahkan pihak pengurusan, rekod pendaftaran dengan Taman Kinabalu, rakaman foto dan video sepanjang pendakian, selain pengesahan daripada malim gunung berlesen serta pihak Taman Kinabalu.

" Turut disediakan ialah laporan lengkap program, sijil penyertaan dan pengesahan kehadiran semua peserta di puncak Gunung Kinabalu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh MBOR," ujarnya lagi.

Beliau juga berkata selain memburu rekod kebangsaan, program itu diharap dapat memperkukuhkan imej korporat SATU sebagai organisasi yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pekerja menerusi aktiviti rekreasi serta gaya hidup sihat.

Jelasnya, pada masa sama, ekspedisi berkenaan dijangka menjadi platform memperkukuhkan semangat kerja berpasukan, meningkatkan daya tahan warga kerja dan memperkenalkan industri perkhidmatan air kepada masyarakat.

" Jika impian itu menjadi kenyataan, kejayaan SATU bukan sahaja terpahat dalam lipatan sejarah syarikat, malah mampu menjadi penanda aras kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di bawah Terengganu Incorporated untuk melaksanakan program berimpak tinggi yang mengangkat nama organisasi di persada nasional," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan