Jalur Gemilang
Berita :
Sungai Nerus Berpotensi Jadi Lokasi Festival Perahu Panjang Peringkat Nasional
Sungai Nerus Berpotensi Jadi Lokasi Festival Perahu Panjang Peringkat Nasional
Ahmad Zaeem Zainudin
53 minit yang lepas
27

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Sungai Nerus dilihat berpotensi menjadi lokasi penganjuran Festival Perahu Panjang Tradisional peringkat nasional dengan penyertaan pasukan dari seluruh negara.

Pengerusi Pertubuhan Pencinta Sungai Nerus (PENERUS), Md Fauzi Mustafa berkata, pihaknya berharap festival yang diwarisi turun-temurun itu dapat diperluaskan ke peringkat lebih tinggi pada tahun hadapan.

Menurutnya, hasrat berkenaan selaras dengan kenyataan Dato' Razali Idris pada 2024 untuk mengangkat pertandingan tersebut ke peringkat nasional.

“Dato' Razali Idris telah pun sebut pada tahun 2024 akan mengangkat festival pertandingan ini ke peringkat nasional dan kami sangat mengharapkan supaya kita dapat menjayakan ke peringkat yang lebih tinggilah.

“Sekarang kita adakan di peringkat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, dua kawasan dan kita harapkan pada tahun akan datang, insya-Allah (akan dinaikkan ke peringkat nasional) sebab kita ada peminat-peminat yang meminati pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis perasmian penutup festival tahunan itu.

Md Fauzi berkata, beberapa lokasi di sepanjang Sungai Nerus, termasuk Tanjung Sabtu, Jeram Hilir dan Kampung Jeram, dikenal pasti sesuai untuk penganjuran berskala lebih besar.

Menurutnya, Tanjung Sabtu dan Jeram Hilir mempunyai akses jalan berturap di sepanjang sungai, manakala Kampung Jeram mempunyai litar yang disifatkannya mencukupi untuk pertandingan tersebut.

“Kita juga ada Kampung Jeram yang sangat sesuai untuk diadakan di peringkat nasional kerana kita sudah ada litar dia yang rasanya sudah cukup untuk pertandingan ini,” jelasnya.

Beliau berkata, PENERUS sebelum ini pernah menyertai pertandingan peringkat antarabangsa dan kebangsaan, termasuk yang dianjurkan di Putrajaya, Kedah serta Perlis.

Sehubungan itu, pihaknya berharap pasukan dari luar Terengganu turut menyertai pertandingan di Sungai Nerus pada masa akan datang.

“Kita juga berharap mereka yang diluar dari Terengganu (dapat) bersama dengan kita di Sungai Nerus ini seperti Penang, Kedah, Perlis Putrajaya, Pahang, Johor dan sebagainya lagi.

“Itulah harapan kita seperti apa yang dikehendaki atau disebut oleh Dato' Razali,” ujarnya.

Md Fauzi turut yakin kerjasama erat semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam persiapan festival kali ini dapat membantu merealisasikan hasrat PENERUS untuk mengangkat acara itu ke peringkat lebih tinggi.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan