Berita :
Terengganu Bakal Jadi Tuan Rumah 'Himpunan Ruminan Pantai Timur 2026' Oktober Ini
Terengganu Bakal Jadi Tuan Rumah 'Himpunan Ruminan Pantai Timur 2026' Oktober Ini
Hidayah Azlin
10 jam yang lepas
61

KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Terengganu bakal menjadi tumpuan para penternak dan peminat industri agro-makanan apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi program berprestij, Himpunan Ruminan Pantai Timur 2026yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim membayangkan kemeriahan acara tersebut yang bakal menghimpunkan pelbagai spesies haiwan ternakan berkaki empat dari seluruh Pantai Timur Semenanjung Malaysia. 

"Kemeriahannya bakal tiba. Pelbagai spesies haiwan ternakan berkaki empat dari Pantai Timur Semenanjung bakal berhimpun di Terengganu," katanya.

Program berskala besar ini membawa tema "Satu Platform, Pelbagai Potensi, Masa Depan Lestari" serta slogan "Ruminan Unggul, Negara Maju!"

Acara ini dijangka menjadi medan utama bagi memperkasa industri penternakan negara, khususnya di wilayah Pantai Timur, dengan memfokuskan kepada lima pengisian utama antaranya pameran dan aktiviti jualan baka-baka ruminan terbaik seperti lembu, kerbau, kambing, dan biri-biri. 

Selain itu perkongsian revolusi teknologi terkini dalam pengurusan ternakan yang lebih efisien, pertandingan ternakan sebagai ruang pengiktirafan bagi penternak yang berjaya menghasilkan baka ternakan berkualiti tinggi dan unggul, mewujudkan platform komunikasi dan rantaian perniagaan antara penternak, pembekal, dan pelabur. Seterusnya memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk berasaskan industri ruminan dan asas tani.

Himpunan ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu dan teknologi buat komuniti penternak, malah dijangka mampu menarik kehadiran ribuan pengunjung termasuk pemain industri, hobi, dan orang ramai dari seluruh negara, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan agro di Terengganu.

Maklumat lanjut mengenai lokasi rasmi dan tarikh penuh acara dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan