Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu FC Tewas Di Laman Sendiri
Terengganu FC Tewas Di Laman Sendiri
Mohd Irsyadi Abu Bakar
2 jam yang lepas
46

KUALA NERUS, 19 Oktober - Terengganu FC tewas 0 - 3 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) FC pada aksi Liga Super Malaysia 2025/2026 yang bersambung semula selepas rehat antarabangsa, malam tadi.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu, skuad kendalian Nafuzi Zain bermula dengan agak baik dan berjaya melakukan beberapa ancaman di kawasan lawan.

Terengganu FC hampir mendahului pada minit ke-9 menerusi Ahmad Haziq Kutty Abba yang memperoleh peluang terbaik di depan gol, namun rembatan pemain muda itu tersasar.

Selepas detik itu, segala-galanya berubah dengan pelawat mula melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-21, Nacho Mendez memiliki peluang di depan gol, tetapi sepakannya tersasar.

Johor DT akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan jaringan menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-25 untuk meletakkan pelawat di depan dengan perbezaan satu jaringan.

Pada minit ke-41, sepakan percuma David Medina berjaya disudahkan Oscar Aribas untuk gol kedua perlawanan untuk Harimau Selatan menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC berpeluang menyamakan kedudukan setelah David Medina menjatuhkan Gervane Kastaneer dalam kotak penalti pada minit ke-59.

Bagaimanapun, ketangkasan Syihan Hazmi Mohamed menafikan rembatan Gabriel De Jesus, membuatkan Terengganu FC terus berputih mata.

Pada minit ke-88, pemain kelahiran Iran, Shahab Zahedi berjaya menewaskan Mohd Suhaimi Husin dan menjaringkan gol ketiga perlawanan.

Johor DT menamatkan perlawanan dengan kedudukan 3 - 0, menyaksikan Terengganu FC kekal di tangga ke sembilan dengan lima mata.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan