Batu 10 FC Pertahan Gelaran Juara Piala ADUN Pengkalan Berangan
Abdul Fattah Kamarudin
20 jam yang lepas
97
MARANG, 19 Oktober – Kejayaan Batu 10 FC menewaskan Kubu FC pada perlawanan akhir Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan 2026 di Padang Arena Marang City membolehkan pasukan itu mempertahankan gelaran juara buat dua tahun berturut-turut.
Dua jaringan pada separuh masa kedua menerusi Muhammad Wafiq Mohd Sabi dan Muhammad Hamidi Abdul Wahab sudah cukup untuk memastikan kejuaraan menjadi milik Batu 10 FC.

Kapten Batu 10 FC, Syaqiman Aqashah Fadzal, merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, rakan sepasukan yang berjuang dari awal hingga akhir kejohanan serta penaja yang memberikan sokongan kepada pasukan.

Ketika ditanya mengenai peluang Batu 10 FC mempertahankan kejuaraan untuk tiga tahun berturut-turut, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai sekiranya masih mempunyai kekuatan untuk terus beraksi.
“Insya-Allah, jika masih ada kudrat yang kuat, Batu 10 mampu mempertahankan kejuaraan tiga kali berturut-turut,” katanya.
Sebagai juara, Batu 10 FC membawa pulang piala pusingan, piala iringan, medal serta wang tunai RM2,500. Pasukan itu turut menerima insentif tambahan sebanyak RM1,000 daripada ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Sulaiman berkata, pemberian insentif tambahan itu merupakan penghargaan kepada pasukan yang muncul juara, selain menjadi suntikan semangat kepada pasukan lain untuk terus berusaha pada kejohanan akan datang.
“Insentif ini adalah hadiah kepada pasukan yang menjadi juara serta suntikan semangat buat pasukan lain untuk mencuba lagi pada masa akan datang,” katanya.
Pada edisi tahun lalu, Batu 10 FC menamatkan penantian untuk bergelar juara selepas menewaskan Padang Terik menerusi penentuan sepakan penalti, susulan keputusan seri 1-1 pada masa permainan sebenar di Stadium Sultan Nasiruddin Ismail, Kuala Terengganu.