lightning-solid
Berita :
Walau Ditekan, Ekonomi Dan Pelaburan Terengganu Tetap Melonjak
Walau Ditekan, Ekonomi Dan Pelaburan Terengganu Tetap Melonjak
Zahid Mustafar
14 Nov 25
3244

KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Terengganu membuktikan kecekapan dan ketahanan tadbir urusnya, berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi, janaan hasil serta lonjakan pelaburan yang signifikan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Pencapaian luar biasa ini direkodkan di sebalik pelbagai tekanan dan cabaran luar, mencerminkan kestabilan pengurusan fiskal negeri yang berhemah dan mampan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, tekanan mahupun provokasi yang dihadapi pentadbiran negeri tidak pernah menyekat keupayaan Terengganu untuk memperkukuh landasan ekonominya.

"Walaupun kita berdepan dengan pelbagai perkara, usikan situ, usikan sini, dicubit situ, dicubit sini, kita masih lagi dapat melonjak prestasi kerajaan negeri dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Pergulungan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam.

Mengulas mengenai prestasi kewangan negeri, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa bagi tempoh RMK12 (2021 hingga 2024), purata hasil janaan negeri meningkat 11.9 peratus kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta pada tempoh RMK11.

Dari sudut pertumbuhan ekonomi keseluruhan, Terengganu berkembang pada kadar purata 4.1 peratus setahun sepanjang RMK12, melonjak lebih dua kali ganda berbanding hanya 1.9 peratus yang dicatatkan sepanjang tempoh RMK11.

Kekuatan ekonomi negeri turut dipacu oleh daya tarikan pelaburan yang kukuh serta pemerkasaan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri. Nilai pelaburan kumulatif bagi tempoh RMK12 sehingga Jun 2025 melonjak 48.2 peratus kepada RM14.3 bilion berbanding RM9.6 bilion dalam RMK11.

Dalam masa yang sama, pendapatan kumulatif Kumpulan Terengganu Inc mencatatkan peningkatan drastik daripada RM900 juta pada 2018 kepada RM1.75 bilion pada 2024, membuktikan peningkatan tahap kecekapan pengurusan aset negeri.

Menurut Ahmad Samsuri, kemajuan fiskal yang dicapai ini tidak berdiri sendiri, sebaliknya berjalan seiring dengan peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

Ia terbukti menerusi skor Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024, di mana Terengganu merekodkan skor tertinggi iaitu 8.64, menobatkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di Malaysia.

Pencapaian ini mengukuhkan hakikat bahawa pengurusan ekonomi yang cekap bukan sekadar memantapkan angka di atas kertas, malah berjaya menterjemahkan kemakmuran tersebut kepada kesejahteraan nyata buat seluruh rakyat Terengganu.


Artikel Berkaitan