• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Individu Islam Bertanggungjawab Seru Laksana Solat

DUNGUN, 24 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menegaskan, umat Islam mesti mengambil perhatian dalam menyeru masyarakat menunaikan solat secara berjemaah di masjid.

Wan Hapandi berkata, perkara ini perlu dilazimi umat Islam untuk mendidik generasi akan datang mendekati masjid.

"Kita perlu memenuhi ruang saf masjid setiap kali tiba waktu solat dan perkara ini perlu menjadi satu kelaziman supaya generasi akan datang menjadikan solat jemaah ini suatu kewajipan dan kebiasaan," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) peringkat DUN Sura, baru-baru ini.

Pelancaran majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat.

Wan Hapandi turut berpesan supaya setiap tempat dihidupkan dengan suasana solat kerana solat itu mencegah kemungkaran dan ia pastinya memberi kesan kepada akhlak setiap individu. 

"Solat ini mestilah dilaksanakan dimana sahaja kerana ia mempengaruhi akhlak setiap individu. Kerana itulah kerajaan negeri Terengganu mengambil pendekatan menganjurkan BPIS bagi membentuk akhlak yang baik dikalangan masyarakat.

"Dengan pelancaran program ini, kita dapat menghayati dan memenuhi hasrat kerajaan negeri Terengganu serta menyokong program BPIS ini agar ia berterusan dan diamalkan," ujarnya.


Tag: