• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Individu Pulang Dari Sabah Perlu Jalani Kuarantin Kendiri

 


HULU TERENGGANU, 27 September- Kerajaan negeri meminta mana-mana individu yang pulang dari Sabah supaya menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, langkah tersebut merupakan pendekatan terbaik yang boleh dilakukan seseorang walaupun tiada kontak dengan mana-mana individu disahkan positif Covid-19.

“Oleh kerana wabak Covid-19 begitu berleluasa di Sabah, jadi kita minta sesiapa sahaja yang pulang berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) atau pelbagai tujuan lain di sana untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Walaupun tiada kontak, adalah lebih baik kuarantin di rumah kerana walaupun ujian pertama anda negatif tetapi saringan kali kedua mungkin menunjukkan keputusan berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sukarelawan Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Terengganu dan Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Kebangsaan di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus.

Alias berkata, Terengganu masih kekal negeri zon hijau Covid-19 justeru orang ramai diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

 


Tag: