• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Individu Tuba Udang Galah Bakal Dikenakan Tindakan

BESUT, 22 Februari – Kerajaan Terengganu memandang serius tindakan segelintir pihak yang menangkap udang galah dengan menggunakan taktik haram termasuk tuba atau racun ikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim memaklumkan, pihaknya akan mengambil tindakan melalui Enakmen Peraturan Perikanan Darat.

Katanya, enakmen itu kini dalam peringkat akhir pembentangan kerana Akta Perikanan 1985 hanya meliputi aktiviti perikanan lautan sahaja.

“Dengan enakmen baharu, kita akan ada punca kuasa untuk mengambil tindakan dan kawal sumber perikanan darat sama ada di kawasan sungai dan tasik.

“Aktiviti angkat ikan melalui taktik kotor seperti dengan kaedah tuba, bahan letupan dan renjatan elektrik adalah salah, kerana ia mampu mengakibatkan kepupusan spesis ikan dan kesukaran pembiakannya dalam satu tempat.

“Situasi ini jelas berlawanan dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkayakan sumber perikanan laut dan darat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Mybest Buy Agrobazar di PTK Nyiur Tujuh.

Tambah Dr Azman, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memperkayakan sumber perikanan melalui peruntukan bajet tahun 2021.

“RM1.21 juta atau 4 kali ganda jumlah berbanding tahun sebelumnya telah diperuntukkan sebagai langkah meningkatkan ekonomi lautan rakyat.

“Oleh itu, apabila kerajaan negeri bersungguh-sungguh dalam inisiatif pertanian maritim ini, anasir-anasir dan penangkapan menggunakan kaedah haram membawa risiko buruk terhadap matlamat tersebut,” ujarnya.

Beberapa hari lalu, media melaporkan tindakan menuba udang galah menggunakan racun semakin berleluasa di Sungai Kemaman, Kampung Pasir Gajah, Air Putih.

Penduduk Kampung Pasir Gajah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang semakin kerap melakukan aktiviti itu sejak beberapa tahun lalu.

Dakwa penduduk, racun tuba atau racun tanaman digunakan dan ia dilakukan pada waktu malam bagi mengelak dikesan.