DUNGUN, 12 Disember - Biasanya kita hanya melihat madu kelulut dihasilkan di tempat lain, namun kini Kampung Baru Kuala Abang turut muncul sebagai antara lokasi yang aktif mengusahakan madu kelulut secara meluas.
Semakin ramai penduduk kampung terlibat dalam bidang penternakan kelulut, menjadikannya salah satu sumber pendapatan baharu bagi komuniti setempat.
Dalam usaha memperkukuh industri ini, satu penyerahan kelengkapan peralatan kepada para pengusaha madu kelulut telah diadakan melalui Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Daerah Dungun.
Penyerahan disempurnakan Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat, bersama pimpinan setempat yang sentiasa cakna terhadap pengukuhan ekonomi rakyat.

Menurut beliau, sokongan berterusan itu penting untuk memberi ruang kepada lebih ramai usahawan tempatan memperkukuh sumber pendapatan mereka.

Dalam masa yang sama, penduduk dan pengunjung diseru untuk merasai sendiri keunikan madu kelulut keluaran tempatan.
Dengan sokongan pelbagai pihak, industri madu kelulut di Kampung Baru Kuala Abang dijangka terus berkembang dan menjadi satu lagi produk kebanggaan daerah Dungun.