• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Industri Pelancongan, Perhotelan Penyumbang Utama Ekonomi Negeri

KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Industri pelancongan dan perhotelan antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, hotel-hotel di Terengganu masih terus beroperasi dengan baik dan tidak begitu mengalami kejatuhan.

“Hotel-hotel dibawah kerajaan negeri telah mencatatkan keuntungan berganda sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

“Apabila saya mengumumkan pembukaan beberapa kawasan pelancongan melalui ‘Travel Bubble’ (SOP Gelembung Pelancongan) dengan pematuhan SOP yang ketat kita melihat keputusan tersebut pada waktu itu adalah tepat pada masanya bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan dan menggalakkan pembukaan sektor pelancongan lebih awal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Terengganu Inc. dan UiTM di Hotel Permai, hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanudin Hilmi Mohamed dan Rektor UiTM cawangan Terengganu, Prof Ts Dr Mazidah Puteh.

Menurut Ariffin, apabila sektor pelancongan aktif ia akan memberi limpahan kepada permintaan tempat tinggal seperti hotel, 'homestay' dan lain-lain. 

“Jika kehadiran pelancong terus meningkat, industri perhotelan dalam negeri dijangka terus meningkat dan menjana keuntungan,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, seluruh dunia baru sahaja pulih daripada kejatuhan ekonomi dunia akibat pandemik COVID-19. 

“Industri perhotelan Malaysia telah dianggarkan kehilangan pendapatan lebih RM5 billion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Anggaran tersebut adalah berdasarkan kadar penghuni  bagi tempoh berkenaan. Lebih 91 buah hotel di Malaysia terpaksa ditutup sementara dan malah ada yang terpaksa menutup sepenuhnya," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyasarkan kedatangan sekitar tiga juta pengunjung ke Terengganu pada tahun 2022.

“Kita lihat dulu untuk enam bulan pertama tahun ini kerana kita masih dalam tempoh pemulihan semula industri pelancongan negeri disebabkan pandemik COVID-19,” ujarnya.