• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

'Infra Pulau Perhentian Bakal Dibaik Pulih' - Ariffin Deraman

Ariffin Deraman dan Dr Mamad Puteh serta rombongan meninjau keadaan destinasi pelancongan di Pulau Perhentian. Foto - Muhammad 'Ammaar Salehudin
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kerajaan negeri sedang merancang untuk membaik pulih infrastruktur kemudahan asas dan destinasi pelancongan di Pulau Perhentian dengan kos keseluruhan sedang dikaji.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ini termasuk baik pulih masjid, laluan ke kincir angin, padang bola dan masalah Sistem Kumbahan Berpusat (STP).

"Saya bersama Dr Mamad Puteh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri serta pegawai beberapa agensi kerajaan telah melawat Pulau Perhentian beberapa hari yang lalu bertujuan untuk melihat infrastruktur yang ada di pulau itu yang perlu ditambah baik.

"Antara komponen yang kami tinjau ialah Masjid Pulau Perhentian yang dibina pada tahun 2014 tetapi masjid ini telah mengalami banyak kerosakan.

"Kemudian kami juga melihat STP di Pulau Perhentian, terdiri dari dua komponen penggunaan termasuk untuk penduduk kampung dan juga pelancong," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Laluan pejalan kaki 1 kilometer  ke Kincir Angin Pulau Perhentian akan dibina secara gotong royong membabitkan kos RM30 ribu.
Dalam lawatan tersebut katanya, penduduk meminta kerajaan negeri membaiki kerosakan padang bola akibat hakisan ombak.

Bagi membangunkan industri pelancongan di pulau itu katanya, fokus utama adalah membaiki laluan ke kincir angin.

Menurut beliau, laluan ke kincir angin yang melibatkan tangga berukuran 300 meter panjang mengalami kerosakan teruk kira-kira 50 peratus.

Projek pembinaan kincir angin membabitkan peruntukan RM12.6 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira dua hektar di sebelah utara Pulau Perhentian Kecil, pada 2006 dan dirasmikan pada September 2007.


Kos projek itu dibiayai bersama kerajaan negeri, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melalui dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagaimanapun, Ustaz Ariffin berkata, projek itu gagal berfungsi untuk menampung keperluan tenaga elektrik kepada 60 buah rumah penduduk pulau berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat menjelaskan bahawa  untuk menyelesaikan masalah tersebut kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 ribu untuk pembinaan laluan baharu sepanjang 1 kilometer dengan cara gotong-royong melibatkan Majlis Daerah Besut dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) pulau berkenaan.

"Kerajaan negeri telah membuat cadangan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya tangga yang rosak di bahagian sebelah bawah dibuang kemudian dibuat sekatan supaya tidak dibenarkan langsung pelancong melalui kawasan tangga berkenaan kerana terlalu bahaya," jelasnya.

"Bagaimanapun kerajaan negeri masih mengekalkan struktur sebelah atas yang masih baik, boleh dicapai dengan cara 'hiking' (berjalan kaki) melalui jalan bukit," jelasnya lagi.


Tag: