• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ingkar SOP: 264 Premis Makanan Dikompaun Di Terengganu

 

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Sebanyak 264 kompaun bernilai RM264,000 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis makanan di Terengganu kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi pemantauan sejak 1 April, lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kompaun tertinggi direkodkan oleh daerah Besut sebanyak 62 dan diikuti Kemaman(55), Hulu Terengganu (33), Setiu (29), Kuala Terengganu (28), Dungun (26), Marang (16) dan Kuala Nerus.

"Selain itu, sebanyak 195 premis telah diarahkan tutup kerana tidak mematuhi SOP seperti tidak merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakan dua meter antara meja pelanggan.

"Arahan tutup adalah antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada kesalahan dan tahap ketidakpatuhan pemilik premis terhadap SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, seramai 48 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi pematuhan SOP itu di semua premis seperti pasar raya, restoran, kedai makan, pasar awam dan pasar tani di seluruh Terengganu.

Dr Nor Azimi juga berkata, pihaknya  telah menjalankan pemeriksaan  di 20,005 premis di seluruh Terengganu sejak Mei lepas .

"Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak mengambil rekod suhu pekerja, tidak memastikan pengambilan suhu pelanggan yang tepat dan tiada penjarakan meja pelanggan seperti mana dikehendaki dalam SOP di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,"ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak pergi ke premis makanan yang tidak mematuhi SOP dan berharap mereka membuat laporan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya ternampak premis makanan yang penuh sesak tanpa penjarakan sosial.
 


Tag: