• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ingkar SOP : Tutup Bazar Ramadan Pilihan Terakhir

KUALA TERENGGANU, 19 April - Kerajaan negeri menyifatkan tindakan menutup bazar Ramadan akibat kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah terakhir demi mengekang penyebaran wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, sebelum penutupan bazar tersebut semua aspek termasuk kebajikan peniaga dan pengunjung akan dinilai pihak berkuasa. 

Sebelum ini katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengatakan prestasi pematuhan penjarakan fizikal di beberapa bazar dalam negeri ini kurang memuaskan.

“Namun begitu, kita tidak mahu tutup bazar, kerana peniaga sudah bayar tapak sewa termasuk kos persiapan manakala orang ramai mahu membeli.

“Tetapi kebimbangan penyebaran COVID-19 masih dirisaukan kerana kita tidak tahu mereka yang merupakan pembawa wabak mampu merebak ke satu kampung.

“Pertimbangan perlu dilakukan antara faktor kesihatan serta ekonomi dan pihak kami juga tidak mahu saman kerana masyarakat ingin mencari rezeki, tetapi kalau degil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa bertindak sebagai pilihan terakhir,” katanya kepada pemberita bagi mengulas isu penutupan Bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai keraguan sebilangan masyarakat terhadap vaksin, Dr Alias menyarankan supaya masyarakat tidak perlu bimbang dan anggap ia sebagai ikhtiar.

“Ini sama seperti pakai topi keledar, risiko kemalangan ada tetapi kecederaan akan berkurang, sama seperti pemvaksinan di mana kesan teruk dielakkan dan tidak mudah jangkitkan orang sekeliling.

“Namun begitu, sebilangan orang kita bersifat ‘tunggu dan lihat’, kerana pandangan negatif masih berlegar.

“Justeru, bendunglah perasaan takut atau terpengaruh dengan maklumat media sosial yang belum disahihkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tambahnya.