• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ini Bukan Along, Kerajaan Terengganu Memang Nak Tolong

Dr Alias Razak beramah mesra dengan peserta Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 Peringkat Negeri Sarawak.
KUCHING, 14 April - Kerajaan Terengganu terus komited dalam usaha memenuhi keperluan rakyat dengan menanggung sejumlah besar subsidi untuk membina rumah-rumah rakyat di bawah skim Rumah Mampu Milik (RMM) khususnya, selain pinjaman-pinjaman yang disediakan adalah tanpa faedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, RMM dijual hanya pada harga RM68,000 iaitu kadar harga di bawah pasaran bagi membantu golongan tersebut.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta dalam Bajet 2019 untuk membina rumah-rumah rakyat.

"RMM dijual hanya pada harga RM68,000 iaitu kadar harga di bawah pasaran bagi membantu golongan tersebut.

"Kos sebenar adalah kira-kira RM120,000 bagi sebuah rumah. Kos selebihnya ditanggung oleh kerajaan bagi kemudahan rakyat," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Penview Hotel, Kuching, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Turut serta, Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Hishamudin Hashim, Timbalan Pegawai Eksekutif II Terengganu Strategic & Intergrity Institute (TSIS), Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin dan Pengerusi Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) Sarawak, Faizal Che Mat.


Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui YT dalam usaha memberikan maklumat yang tepat dan terkini kepada anak-anak Terengganu yang berada di perantauan.

Majlis anjuran YT dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan negeri itu meraikan 150 anak negeri yang tinggal di Sarawak terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dan PERANTAU.

Siri jelajah tersebut merupakan yang terakhir selepas diadakan di Pulau Pinang (zon utara), Sabah dan Johor (zon selatan) dan Kuala Lumpur sebelum ini.


Tag: