KUALA NERUS, 9 November – Program pengumpulan e-waste menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, e-waste atau sisa elektronik ialah barangan elektrik dan elektronik yang sudah rosak, tidak digunakan, atau dibuang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan barangan elektronik lain.
Katanya, barangan tersebut jika tidak diurus dengan betul, bahan dalam e-waste seperti logam berat dan bahan kimia boleh mencemarkan tanah, air serta menjejaskan kesihatan manusia.
“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan pemulihan dan kitar semula bahan berharga daripada e-waste, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber alam baharu serta meminimumkan pencemaran.
“Program pengumpulan e-waste dijadualkan diadakan pada setiap hari Sabtu terakhir setiap bulan di seluruh negeri bagi memudahkan masyarakat menghantar sisa elektronik mereka ke pusat pengumpulan yang sah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Dewan Ar Riyadah Residence Kuala Nerus di sini semalam.
Razali berkata melalui pendekatan itu, ianya bukan sahaja mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar, malah menyokong ekonomi kitaran yang mampan. Semua pihak digalakkan mengambil bahagian, termasuk sekolah, komuniti dan sektor swasta.
“Kerajaan negeri turut menyokong pelaksanaan program Sekolah Lestari dan Pertandingan Mengumpul E-Waste bagi melibatkan pelajar secara aktif dalam usaha memelihara alam sekitar sejak di peringkat awal pendidikan.
“Inisiatif ini dapat menjadi amalan berterusan dalam kehidupan seharian rakyat Terengganu bagi memastikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” ujarnya.