• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Insentif Berganda SUKMA, Motivasi Jerih Payah Atlet'

KUALA TERENGGANU, 17 September -Kerajaan Terengganu menawarkan imbuhan berganda buat para atlet yang memenangi pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 sekiranya Terengganu berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenangi pada 2018 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.862 juta sebagai motivasi kepada 462 atlet yang sedang beraksi dalam kejohanan itu di Lembah Klang ketika ini.

"Kadar insentif ini merupakan kadar yang tertinggi daripada yang diberikan sebelum ini seandainya Terengganu berjaya menjadi juara keseluruhan pada temasya SUKMA ke-20 ini.

"Insentif besar ini merupakan satu dorongan atas kesabaran atlet untuk bersama kontinjen Terengganu pada kali ini.

"Dengan penganjuran yang lewat hampir dua tahun, ada atlet yang mengorbankan kerjaya dan kebebasan mereka untuk meneruskan cita-cita dan misi mencapai kejayaan bagi Terengganu, termasuk atlet yang telah berkahwin," katanya pada sidang media yang diadakan di Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini semalam.

Jelasnya, sehubungan itu pihak kerajaan negeri menawarkan imbuhan lebih tinggi untuk hadiah kemenangan mereka.

Menurutnya, setiap pemenang pingat bakal menerima insentif bernilai RM6,000 bagi pingat Emas, RM3,000 bagi pingat Perak dan RM2,000 bagi pingat Gangsa.

"Tetapi, sekiranya tidak menjadi juara keseluruhan, maka kita akan memberikan insentif sebagaimana kadar sebelum ini iaitu RM3,000 bagi pingat Emas, RM2,000 (Perak) dan RM1,000 bagi pingat Gangsa," katanya.

Dalam temasya kali ini, Terengganu menyasarkan 57 Emas, 25 Perak dan 40 Gangsa dengan sukan pelayaran, judo dan basikal menjadi antara sukan tumpuan sasaran tersebut.

 

 

 

  

 

 

 

 

 


Tag: