• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Insentif RM200,000 Untuk Azizulhasni

Ahmad Razif menyerahkan replika cek berjumlah RM200,000 kepada Azizulhasni di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Tg Mohd Syamim Tg Ismail

Kerajaan negeri menghadiahkan insentif keseluruhan berjumlah RM200,000 untuk jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang sebagai pengiktirafan di atas kejayaannya memenangi pingat emas pada acara keirin dalam Kejohanan Dunia di Hong Kong, Khamis lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan perkara itu pada majlis menyambut kepulangan dan meraikan kejayaan anak jati Dungun itu, di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, insentif sebanyak RM100,000 diberikan dalam bentuk wang tunai dan RM100,000 lagi untuk skim insentif latihan buat pelumba kebanggaan negara yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocket Man itu.

Ahmad Razif berkata, insentif berkenaan diharap bukan sahaja dapat menjadi pendorong semangat buat Azizulhasni mencipta lebih banyak kejayaan di dalam dan luar negara, tetapi juga sebagai penyuntik semangat untuk atlet negeri dan anak muda lain melakar kejayaan dalam bidang sukan.


"Kejayaan Azizulhasni sangat membanggakan seluruh rakyat Terengganu dan insentif ini adalah penghargaan di atas segala kerja keras dan pengorbanan beliau untuk negeri dan negara.

"Kerajaan negeri juga merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh keluarga Azizulhasni terutama ibu bapa, isteri dan anak beliau yang banyak berkorban sekali gus menyumbang kejayaan besar ini," katanya.

Sementara itu, Azizulhasni mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pengiktirafan dan penghargaan daripada kerajaan negeri dan berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk tidak berputus asa dan bekerja keras mengejar cita-cita dan mencipta kejayaan untuk negara.

Tag: