• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Insentif Tambahan Pesawah MyGAP Mungkin Dinaikkan

KUALA NERUS, 14 September - Kerajaan negeri bercadang menaikkan insentif bagi setiap tan metrik padi kasar daripada pesawah yang memiliki persijilan MyGAP sebagai galakan pesawah menghantar padi ke kilang konsortium untuk diproses.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak boleh memaksa pesawah untuk menjual padi kepada kilang konsortium melainkan dengan menaikkan insentif.

 “Kalau kita tidak bagi insentif, kita tidak boleh paksa mereka untuk hantar ke kilang konsortium. Maknanya, mereka akan hantar ke mana-mana kilang yang ada, padi MyGAP akan bercampur dengan padi biasa dan tidak menjadi beras MyGAP,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Input Penternakan Ruminan peringkat Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, di Dewan Masyarakat Tok Jiring, semalam.

Katanya, insentif pembelian padi kasar yang akan dinaikkan itu adalah sebagai tambahan kepada insentif yang diumumkan kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, Terengganu mempunyai keluasan penanaman padi seluas kira-kira 12,000 hektar manakala keluasan padi MyGap adalah seluas kira-kira 900 hektar.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Dr Azman memaklumkan, sejak tiga tahun lalu kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan RM200,000 semusim untuk membayar insentif tambahan bernilai RM105/tan padi kasar bagi pesawah MyGAP yang bersedia hantar padi mereka ke Konsortium Kilang Padi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang terletak di Baruh masin, Jabi.

Katanya, langkah itu sebagai galakan pesawah menghantar padi ke kilang LPP untuk diproses dan dalam masa yang sama padi MyGAP dapat diuruskan secara berpusat sehingga tidak bercampur dengan padi bukan MyGAP.

“Kerajaan Negeri bersama TADC telah berbincang dengan Kilang LPP supaya mereka sediakan saluran proses khas untuk padi MyGAP. Perbincangan dengan beberapa terma dipersetujui dan dimuktamadkan. Alhamdulillah, sekitar 80 peratus dari pesawah yang ada sijil MyGAP telah bersetuju,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Dengan erti kata lain jelas beliau, kerajaan negeri telah bantu bayar subsidi tambahan kepada padi MyGAP sehingga beras MyGAP yang berkualiti tinggi dan selamat dimakan akhirnya dijual dengan harga seperti beras biasa walaupun kualitinya berbeza.

“Beras MyGAP adalah beras berkualiti tinggi yang disahkan selamat secara saintifik terutama dari segi kualiti dan kandungan racun. Nak dapat persijilan MyGAP ada lebih 100 audit ‘checklist’ yang perlu dilepasi.

"Hanya mereka yang komited, berdisiplin dan bersungguh akan berjaya. Terengganu adalah negeri yang mempunyai pesawah MyGAP paling ramai di Malaysia,” ujarnya.