• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Islam Iktiraf Seni, Asal Tidak Leka - Presiden PAS



Oleh: Aziz Hambali

KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Agama Islam mengiktiraf kesenian daripada semua kaum, dengan syarat ianya tidak melekakan dan mampu memberi manfaat kepada manusia.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pada asasnya perkataan seni mempunyai makna yang sangat luas dengan syarat ia digunakan untuk kemuliaan agama Islam itu sendiri. Seni kelakar juga diberi pengiktirafan dalam islam iaitu kelakar yang tidak berbohong, tetapi mendidik jiwa.

Jelasnya, PAS sebagai gerakan Islam yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar untuk memurnikan kefahaman rakyat mengenai seni dan hiburan.

“Di Terengganu sendiri, ada gaya keseniannya yang tersendiri seperti rodat yang merupakan syair selawat. Penyanyinya adalah lelaki tetapi apabila datangnya penjajah, mereka ubah gaya kesenian itu bercampur lelaki dan perempuan. Jadi lalai dan leka.

"Seni dan budaya tidak salah, yang salahnya ialah apabila ada yang berhibur tetapi bercampur antara lelaki dan perempuan,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama dan perasmian Simposium Seni Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini, pagi tadi.


Program Simposium Seni & Hiburan Menurut Islam yang dianjurkan oleh Pasca PRU 14, Jawatankuasa Lujnah Seni Dan Budaya PAS Pusat (LESTARI) diadakan bagi merungkai pelbagai soalan berkaitan dengan seni dan hiburan menurut perspektif Islam.

Sementara itu, Pengerusi LESTARI, Ustaz Dr. Riduan Mohd Nor, berkata simposium ini berjaya dilaksanakan dengan penglibatan beberapa pemikir yang membentangkan kertas kerja berkaitan seni dan budaya menurut perspektif Islam.

“Ucaptama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga sangat berkesan dengan memberi gambaran bahawa gerakan Islam atau harakatul ummah ini juga berperanan memposisikan Islam ini sebagai agama yang lengkap termasuk fitrah manusia, manusia berkehendak kepada hiburan.

“Dalam sirah Nabi SAW, ada penghibur Islam iaitu Hassan Tsabit dan Abdullah Abi Rawahah. Mereka ini menggunakan seni sebagai medium mempertahankan agama ALLAH Taala,”ujarnya.


Tag: