• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Islamofobia ‘Hantui’ Pemikiran Penentang Islam

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab persoalan peserta Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Undang-undang Islam sebenarnya bersifat mendidik dan bukannya menghukum yang perlu difahami oleh masyarakat umum.

Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian, ketika berucap sebagai ahli panel Muzakarah Perundangan Islam Negeri Terengganu 2018, anjuran Pejabat Mufti Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (18 Oktober).

Beliau turut mengulangi pendapatnya bahawa masih terdapat Islamofobia yang ‘menghantui’ pemikiran pihak tertentu di negara ini.

Malah, kata Presiden PAS itu, ketakutan juga turut melibatkan di kalangan orang Islam sendiri yang menentangnya.

“Pertama perlu difahami bahawa undang-undang (hudud) itu lebih bersifat mendidik. Undang-undang yang menakutkan pesalah dan hendak jatuhkan hukuman payah, memerlukan saksi yang adil.

“Kalau berzina perlu empat orang saksi yang melihat dengan mata dia sendiri. Jika tidak cukup tiga orang sahaja, saksi itu kena sebat 80 kali sebatan. Bukan mudah untuk menjatuhkan hukuman.

“Ada juga kita mendapat maklumat, mereka menentang RUU355 ini kerana takut mempengaruhi orang bukan Islam kepada Islam. Malangnya, apa yang berlaku orang Islam pun takut juga, ini yang berlaku (pelik) dan kita rasa dukacita,” ujarnya.

Sesuatu yang melucukan membuatkan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Mufti Terengganu, Dato’ Zulkifli Muda ketawa.
Menurut Abdul Hadi, ketakutan dan kebimbangan kelompok masyarakat non-muslim pula kerana khuatir kebaikan agama Islam akan mempengaruhinya.

“Kita mendapat maklumat khususnya orang Kristian yang menentang hudud. Kenapa dia takut sangat?

“Sebabnya ialah dia bimbang. Jika syariat Islam dilaksanakan walaupun sekadar (RUU) 355, menyebabkan orang bukan Islam (akan) memilih undang-undang Islam daripada undang-undang sivil.

“Saya mengambil contoh hukuman (Islam) itu di Acheh. Orang bukan Islam buat kesalahan, dihukum takzir kena sebat 20 kali sebatan. Sebat yang tidak menyakitkan kedudukan (keadaan) pesalah.

“Kalau undang-undang sivil (mereka) kena penjara empat bulan, tinggal anak bini susah. Tapi, dengan sebatan (Islam) yang tidak menyakitkan, cuma malu sekejap sahaja,” jelasnya kepada lebih 500 hadirin.

Dua ahli panel, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Dato’ Zulkifli Muda serta moderatornya, Timbalan Mufti Terengganu (kiri)
Muzakarah Perundangan Islam itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang menggantikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman dan Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed.


Tag: