lightning-solid
Berita :
Israk Mikraj Bukti Allah Menguatkan Rasulullah di Tahun Dukacita
Israk Mikraj Bukti Allah Menguatkan Rasulullah di Tahun Dukacita
Amiirullah Mansor
1 hari yang lepas
37

DUNGUN, 20 Januari — Peristiwa Israk Mikraj merupakan bukti kasih sayang Allah Taala terhadap Rasulullah SAW apabila Baginda diuji dengan pelbagai kesedihan dan tekanan hebat dalam perjuangan dakwah Islam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, peristiwa agung itu berlaku pada tahun yang dikenali sebagai Sanatul Huzni atau tahun dukacita, iaitu ketika Rasulullah SAW kehilangan dua insan paling hampir dalam hidup baginda. 

“Pada tahun tersebut, Rasulullah SAW kehilangan bapa saudara baginda Abu Talib yang menjadi pelindung utama perjuangan Islam, serta isteri tercinta Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang menjadi sumber kekuatan dan sokongan moral kepada baginda,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Israk Mikraj yang berlangsung di Masjid Seberang Pintasan, baru-baru ini.

615434068_1427191792102803_7956706150323357658_n.jpg 426 KB
Menurut beliau, dalam keadaan penuh kesedihan dan tekanan itulah Allah SWT mengurniakan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai penghiburan serta penguat iman kepada Rasulullah SAW.

“Israk Mikraj bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi merupakan satu bentuk penguatan jiwa dan keyakinan daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW bahawa perjuangan ini berada di bawah pemeliharaan-Nya,” jelasnya. 

Tambahnya, peristiwa tersebut turut mengajar umat Islam tentang kepentingan iman kepada perkara ghaib serta keyakinan penuh terhadap kekuasaan Allah SWT, sebagaimana sikap Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA yang membenarkan peristiwa Israk Mikraj tanpa sebarang keraguan. 

“Iman yang sebenar bukan diukur dengan logik semata-mata, tetapi dengan keyakinan total terhadap apa yang datang daripada Allah SWT dan Rasul-Nya,” katanya lagi. 

Beliau berharap agar peringatan Israk Mikraj dapat menjadi pengajaran kepada umat Islam untuk terus istiqamah, memperkukuh iman serta berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini. 

615238863_1427191742102808_8701291684924906509_n.jpg 229.62 KB


Tag :

Artikel Berkaitan