• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Isu Balai Polis, Klinik Desa Daif Diberi Perhatian

Haji Ahmad Amzad Hashim
KUALA LUMPUR, 26 Mac - Dua isu termasuk menaik taraf Balai Polis Chabang Tiga, Manir dan Batu Rakit serta klinik desa di Kuala Terengganu mendapat perhatian wakil kerajaan. 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Amad Amzad Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa kedua-dua isu tersebut sudah mendapat perhatian pihak terbabit.

"Alhamdulillah saya dimaklumkan perbahasan saya berkaitan keperluan naik taraf Balai Chabang Tiga, Manir dan Batu Rakit serta kereta dan motosikal peronda di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu mendapat perhatian pihak yang berkenaan.

"Begitu juga soal Klinik Desa di Kuala Terengganu yang ada yang sangat ketinggalan berbanding klinik klinik yang ada sekarang sehingga ibu-ibu yang sarat mengandung perlu menunggu dengan duduk bersila atau bersimpuh atas lantai klinik.

Beliau juga mendedahkan, ada wartawan yang menghubungi beliau dan bertanyakan klinik mana yang boleh dilihat keadaan sedemikian.

"Saya beritahu cuba pergi klinik di kampung saya, Klinik Desa Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu sudahlah. Terutama pagi Ahad atau hari ini Selasa," ujarnya.

Beliau berkata demikian di status facebooknya hari ini menjelaskan kejayaan perbahasannya di Dewan Rakyat, mendorong isu berkenaan diberi perhatian oleh pihak terbabit.

Bagaimanapun Haji Ahmad Amzad tidak menyebut nama pihak kementerian atau jabatan terlibat.

Ketika menyenaraikan isu berbangkit di Klinik Desa Durian Burung beliau menyebut bahawa klinik berkenaan mengalami kekurangan kemudahan  termasuk masalah ruang menunggu yang sempit.

"Hanya kaum ibu dan anak yang muat untuk menunggu. Tiada kerusi yg mencukupi. Bila terlalu ramai, hanya mampu duduk bersila sambil menunggu giliran," jelasnya.

Selain itu katanya, ruang kerja kakitangan atau jururawat juga didapati kurang selesa.

Menurutnya, ia berpunca dari pesakit yang ramai berkunjung setiap hari ke klinik tersebut terutama pada hari Ahad dan Selasa, memandangkan klinik desa itu menjadi tumpuan ramai penduduk stempat.

Tambahnya, selain tiada kemudahan kerusi meja yang lengkap untuk jururawat dan staf, premis juga tiada perabot, kipas yang mencukupi untuk simpanan ubat-ubatan dan fail-fail pesakit serta ruang tidak mencukupi dan selesa untuk bahagian kanak-kanak.

"Saya menerima maklumat ekoran ucapan itu, Klinik Kesihatan Hiliran, Kuala Terengganu juga bakal diberi tumpuan ekoran masalah kesesakannya.

"Jika betul, saya ucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan kerana saya tidak sempat menyebutnya kelmarin," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga membangkitkan masalah berkaitan lesen pukat tunda khas musim tengkujuh yang membabitkan nelayan Terengganu.

Amzad juga berharap supaya Jabatan Perikanan Malaysia dapat membezakan antara pukat tunda yang mendatangkan masalah kepada ekosistem, merosakkan bubu, mematikan anak ikan berkualiti tinggi sebelum ia sempat membesar, dengan jenis pukat tunda yang digunakan untuk menangkap udang oleh nelayan tempatan Terengganu ini.

"Lesen Khas yang setiap tahun dikeluarkan sebelum ini kecuali tahun ini disertakan dengan syarat yang sangat ketat memperincikan jenis pukat, kawasan yg boleh memukat dan lain lain.

"Ini menjamin apa yang menjadi isu berkaitan ekosistem, bubu, unjam tidak terjejas oleh lesen khas ini yang cuma bagi membolehkan nelayan mengambil kesempatan dari fenomena musim tengkujuh di mana populasi udang ditolak oleh ombak ke pesisir pantai,"katanya.

Kata beliau, sekiranya udang dapat dituai, bukan sahaja nelayan memperolehi pendapatan, rakyat Terengganu juga boleh mendapat dan merasa udang segar yang lebih murah apabila bekalan bertambah.

Amzad turut membangkitkan kembali soal wang pendahuluan milik Kerajaan Terengganu sebanyak RM1.85 billion yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

"Kerajaan Persekutuan telah berjanji memulangkan wang tersebut. Saya hairan bagaimana bila Kerajaan Persekutuan menaik taraf jalan di Kijal, Kemaman yang merupakan projek milik Persekutuan, ia dikatakan sebahagian bayaran balik wang pendahuluan berkenaan.

"Itu sangat ganjil kerana apa yang menjadi milik Persekutuan adalah memang tanggungjawab Persekutuan. Adakah praktis yang sama dibuat di negeri lain? Bayar wang negeri dengan melaksanakan projek milik Persekutuan?," soalnya.



Tag: