• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Isu Doping SUKMA : MSNT Panggil PBBABT

KUALA TERENGGANU, 29 September - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan akan mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) memanggil Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) bagi mendapatkan penyelesaian sewajarnya berhubung isu doping dua atlet angkat berat negeri itu.

Katanya, ia selepas dua atlet terbabit didapati positif penggunaan bahan terlarang pada ujian yang dilakukan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, baru-baru ini.

“Secara peribadi, saya agak kecewa dengan isu ini kerana kita telah mengalaminya pada 2018 lalu, dan kini kita menghadapi perkara yang sama. 

“Sepatutnya ia menjadi pengajaran kepada kita, sama ada atlet, jurulatih dan pengurusan sebab kita ambil masa agak lama untuk latihan dan persiapan bagi SUKMA kali ini serta ia melibatkan kewangan, masa, tenaga yang besar, tetapi apabila tiba kepada kejohanan yang menentukan pencapaian kita, tiba-tiba kita gagal bertanding disebabkan isu doping.

“Jadi, selepas ini MSNT akan panggil PBBABT untuk mencari satu penyelesaian yang sewajarnya kerana ini kelalaian dan kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam pada itu, pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan penekanan terhadap semua aspek bagi memasti perkara tersebut tidak berulang sebelum ini.

“Kita telah berikan pendedahan daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) selain maklumkan kepada atlet supaya sebarang pengambilan ubat-ubatan serta perbekalan makanan tambahan perlu melalui penilaian MSNT.

“Cuma, kesilapan yang berlaku memang diluar jangkaan kita, pengambilan ubat lelah atlet yang digunakan tidak dimaklumkan lebih awal kepada kita.

“Sebenarnya, jika dapat dimaklumkan lebih awal, kita dapat memohon pengecualian daripada adamas dan beliau akan dapat bertanding,” katanya.

Beliau menyatakan, atlet tersebut kini sedang dalam proses membuat rayuan untuk membuka sampel B dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau tidak akan dikenakan hukuman.


Tag: