• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Isu Mendapan Pelabuhan Chendering Selesai Jika Hakisan Pantai Rusila Dibaiki Segera

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan Persekutuan menyasarkan pelan 'serampang dua mata' bagi menyelesaikan isu mendapan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini dengan menyegerakan projek membaiki hakisan pantai di Rusila, Marang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek tersebut memerlukan sumber pasir yang banyak dan kos dapat dioptimumkan dengan langkah memperdalamkan pelabuhan Chendering.

Dato' Che Abdullah ketika ditemui pemberita, hari ini.

"Saya insya-Allah, akan cuba memastikan apa yang dijanjikan (pembaikian hakisan pantai) itu dapat disalurkan segera kerana pengurangan pendaratan ini melibatkan juga bidang-bidang lain seperti perbekalan air batu dan pemprosesan isi ikan terhenti akibat tidak cukup sumber.

"Aktiviti perniagaan yang lain turut akan berkurang oleh kerana kurangnya pendaratan di LKIM Chendering, jadi saya harap peruntukan itu dapat menyelesaikan masalah ini segera supaya LKIM Chendering dapat beroperasi sepenuhnya dan dapat mengembalikan kegemilangannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke pelabuhan berkenaan sempena Lawatan Kerja ke Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Mohd Sor Othman memaklumkan, tambakan Pantai Rusila Marang seluas 50 meter lebar dan tiga kilometer panjang memerlukan antara 800 hingga satu juta kubik meter pasir.

"Hasil lawatan Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ke Terengganu beberapa minggu lepas telah meluluskan peruntukan RM15 juta untuk menyelesaikan sementara hakisan yang berlaku di Rusila dan kita jangkakan sumber utama yang dapat mengoptimumkan kos itu adalah dengan memperdalamkan pelabuhan Chendering.

Che Abdullah berjumpa nelayan dan peraih yang beroperasi di pelabuhan LKIM Chendering.

 "Bagaimanapun, kajian akan dibuat berapa jumlah pasir yang perlu dikorek dan dikeluarkan dari pelabuhan ini. Saya difahamkan pelantikan juru ukur telah dilakukan oleh JPS Malaysia untuk membuat kerja-kerja ukur di Rusila dan kawasan ini. Proses berikutnya iaitu penyediaan dokumen dan tender juga sedang disediakan JPS," katanya.

Pelabuhan berkenaan yang mula beroperasi 1983 berkeluasan 41 hektar termasuk 33 hektar dermaga pelabuhan (harbour basin) merupakan satu-satunya fasiliti pendaratan yang dibina untuk mengendalikan bot C2 kerana dermaganya yang panjang.

Namun, disebabkan masalah mendapan pasir amat serius, bot- bot laut dalam tidak dapat masuk mendaratkan tangkapan menyebabkan ramai pengusaha bot mengalihkan operasi ke Tok Bali, Kelantan dan Kuantan Pahang.

Keadaan bertambah teruk apabila benteng pemecah ombak juga telah bocor menyebabkan lebih banyak pasir masuk ke pelabuhan.

Penurunan pendaratan mula berlaku sejak 2013 iaitu daripada13 ribu 682 metrik tan pendaratan ikan di Pelabuhan LKIM Chendering yang direkodkan dan jumlah itu menurun kepada hanya seribu 334 metrik tan sahaja tahun lalu.

Kilang air batu yang turut terjejas.

 

 

 

 

 

 

 


 


Tag: