• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Isu Pedang Kayu Sengaja Ditimbulkan Pencetus Islamofobia

MARANG, 25 Februari - Polemik penggunaan replika senjata dan kostum ala tentera Islam ketika perarakan program tahunan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 baru-baru ini disifatkan sengaja ditimbulkan pihak yang jahil dan terpengaruh dengan Islamofobia.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, berkata jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab.

"Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.

"Orang Islam yang membawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tidak apa pula", katanya.

Beliau turut mendakwa hari ini, kita menyaksikan sikap ‘double standard’ negara penjajah terhadap negara Islam dan penganut Islam di serata dunia, dengan mengehadkan kemampuan umat Islam dari segi teknologi persenjataan. Mereka lebih suka umat Islam bertari-menari dan bersukan yang berunsurkan maksiat.

Katanya umat Islam terleka daripada menguasai seni mempertahankan diri dan sukan yang memahirkan pertahanan diri dan kesihatan jasad dan roh seperti memanah, menggunakan senjata, seni mempertahankan diri dan lain-lain.

"Apa yang dilakukan oleh penjajah adalah semata-mata supaya umat Islam menjadi kaum yang lemah.

"Terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta al-Quran, penyakit yang lebih berbahaya daripada buta huruf. Golongan itu menjadi bodoh, kerana terpengaruh dengan agenda penjajah yang sebenarnya merupakan musuh Islam dan bersama menyebarkan kefahaman yang salah terhadap umat Islam.

"Hakikatnya, umat Islam itulah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata, kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala dalam semua perkara.

"Hal ini berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah, sehingga menyebabkan berlaku kadar jenayah yang tidak terkawal sesama mereka, termasuklah sanggup membunuh diri sendiri", tambahnya lagi dalam sebuah siri artikel Minda Presiden di laman Facebook rasminya.

Penggunaan barangan replika pedang yang hanya diperbuatkan daripada kayu 'playwood' dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 tempoh hari tular di laman media sosial sama ada Facebook, TikTok dan sebagainya sehingga menjadi trending dan 'Popular Now'.

Rata-rata warga maya menyokong sepenuhnya perarakan di himpunan tersebut yang menghidupkan semangat roh perjuangan dan syiar Islam.

 


Tag: