• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Isu Suntikan Kosong Tiada Kaitan Sindiket Jual Vaksin

PUTRAJAYA, 23 Julai - Isu yang tular di kalangan netizen mengenai kes picagari kosong ketika suntikan vaksin Covid-19 tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sindiket penjualan vaksin sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan setakat hari ini hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ia langsung tidak mempunyai bukti yang kukuh, sebaliknya perkara itu berlaku disebabkan beberapa perkara.

"Sebagaimana kes yang tular videonya di Sungai Petani iaitu di Kem Lapangan Terbang ini satu-satunya kes di mana jururawat tersebut telah mengaku melakukan kecuaian disebabkan keletihan.

"Amaran telah pun diberikakan kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan waktu itu dia bertugas di kem tentera, dan akan melalui proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata demikian pada sidang media mingguan Perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, pada hari ini.

Mengulas lanjut katanya, dalam beberapa kes terdapat penerima mendakwa tidak menerima suntikan disebabkan tidak mengalami kesan sampingan.

"Di mana pengadu telah membuat laporan polis mengatakan tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima  vaksin. Saya ingin katakan bahawa kesan yang dialami setiap orang adalah berbeza.

"Sebagai contoh saya sendiri tidak mengalami sebarang kesan daripada vaksinasi yang dibuat secara langsung dan dipaparkan seluruh negara. Saya rasa tidak wajar ada tuduhan vaksin kosong, kerana penerima vaksin ada yang mengalami kesan sampingan dan ada yang tidak mengalaminya.

"Sebagai contoh kes di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Jalil, PPV UCSI dan sebagainya, yang mana pengendali kesihatan mengatakan telah memberi dos yang sempurna kepada penerima," katanya.

Turut berlaku katanya, dos tambahan akan diberikan kepada penerima akibat kekeliruan.

"Petugas kesihatan tidak pasti samada dos telah diberikan secara sempurna ataupun tidak. 

"Saya ingin mengumumkan bahawa untuk tidak berlaku apa-apa kecuaian lagi, saya telah mengarahkan agar ditunjuk kepada penerima, picagari yang telah pun diiisi dengan sempurna sebelum suntikan itu dilakukan," ujarnya.

Di samping itu kata Khairy, setiap rakyat yang menerima suntikan vaksin dibenarkan untuk merekodkan gambar atau video ketika menerima suntikan agar kes sama tidak lagi berulang.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sebenarnya merisikokan nyawa mereka pada setiap hari bagi menyuntik setengah juta penerima setiap hari," ujarnya


Tag: