• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Isu Tanah Felda : Terengganu Tuntut Hak Rakyat

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri tiada pilihan selain menuntut hak negeri dan rakyat Terengganu yang sepatutnya daripada Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan hasrat itu disuarakan dalam Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Felda antara Kerajaan Negeri dan wakil Felda pada Mac lalu.

"Isu utama ialah seluas 13,686 hektar tanah milik Kerajaan Negeri yang dibangunkan ladang sawit oleh Felda sejak tahun 1985.

"Tanah ini Felda telah diserahkan kepada Felda Global Venture (FGV) pada 2012 dan diistiharkan di Bursa Saham Kuala Lumpur sebagai aset FGV. 

"Selama lebih kurang 39 tahun Felda mengusahakan tanah milik negeri tanpa dokumen hak milik sah dan Kerajaan Negeri sebagai tuan tanah tidak diberikan hak yang sepatutnya," katanya sambil menyatakan, ruang perbincangan yang dibuka oleh kerajaan negeri sebelum ini tak bersambut sebaiknya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, Felda telah menuai hasil dan keuntungan hampir 40 tahun tetapi tuntutan negeri tetap dipandang ringan. 

"Mesyuarat baru-baru ini hanya ada dua pilihan yang boleh ditawarkan iaitu berikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan. 

"Jalan kedua ialah proses undang-undang. Jalan kedua tentu panjang dan berliku tapi kita perlu lalui demi hak negeri ini," katanya.


Tag: