KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Usaha memperkasakan wanita dan memperluas perlindungan sosial kepada suri rumah terus diperkukuh menerusi penganjuran Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat Terengganu 2025 yang berlangsung di Dewan Sivik Ajil, pagi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim, program tersebut merupakan satu inisiatif dianjurkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Institut Modal Insan Sejahtera Terengganu (IMITS) serta Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil.
"Program i-Suri di bawah KWSP ini merupakan antara usaha memberi perlindungan sosial kepada suri rumah yang tidak berpendapatan tetap, dengan galakan caruman secara sukarela yang turut disertakan insentif kerajaan.
"Melalui jelajah ini, para wanita khususnya suri rumah diberi maklumat berkenaan manfaat simpanan masa depan, skim perlindungan, dan peluang mempertingkat kesejahteraan keluarga.
"Turut ditekankan kepentingan celik kewangan dan peranan wanita sebagai nadi pembangunan masyarakat," katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil berkata demikian melalui satu hantaran Facebook rasminya.
Turut hadir bagi menyempurnakan program, Pengarah KWSP Wilayah Timur, Tuan Rahmat serta Pengarah IMITS Terengganu, Kamaruzaman Abdullah.
Menurutnya lagi, program turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai agensi yang membuka ruang pameran dan perkhidmatan termasuk Tabung Haji, BSN, TTITC, JPW, PTPTN, THRDC, PERKESO, AKPK dan NADI, yang menawarkan informasi tentang peluang pekerjaan, latihan kemahiran, perancangan kewangan dan pelan simpanan masa depan.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program, dan menyeru agar lebih banyak usaha kolaboratif seperti demikian dilaksanakan.
"Tahniah kepada semua penganjur dan peserta yang menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini terus diperluas ke seluruh negeri agar tiada golongan wanita tercicir dalam perlindungan sosial," ujarnya.