• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Jabatan Amal Dungun Bantu Alih Pokok Tumbang

DUNGUN ,26 Disember – Jabatan Amal Dungun segera menggerakkan anggotanya untuk turut sama membantu pihak Angkatan Pertahanan Awam dan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seberang Pintasan setelah dimaklumkan kejadian pokok tumbang di kampung itu.

Ketua Operasi Jabatan Amal Kawasan Dungun, Utbah Hassan berkata, setelah dimaklumkan tentang kejadian pokok tumbang yang menyebabkan halangan buat kenderaan untuk melalui jalan tersebut, seramai lapan anggota Jabatan Amal telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sudah menjadi kebiasaan apabila masuk musim tengkujuh banyaklah laporan dan aduan berkenaan dengan bencana termasuklah pokok tumbang.

"Justeru, kita telah bersiap sedia lebih awal lagi dengan melakukan persediaan barangan logistik sekiranya terdapat aduan berlakunya pokok tumbang mahupun bencana yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi mengalihkan pokok tumbang di Kampung Seberang Pintasan, semalam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli turut merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota Jabatan Amal yang terlibat dalam operasi membantu mengalihkan pokok tumbang itu.

“Semua masyarakat perlulah berganding bahu dan saling bekerjasama apabila berlakunya bencana agar ia dapat diselesaikan dengan segera," ujarnya.


Tag: