• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Jabatan Perhutanan Digesa Alih Segera Kayu Hanyut di Tasik Kenyir

KUALA TERENGGANU, 16 April- Lembaga Kemajuan Trengganu Tengah (KETENGAH) menggesa Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu segera membawa keluar kayu-kayan yang hanyut akibat banjir lalu bagi keselamatan pengunjung.

Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris berkata, jika dibiarkan lebih lama dikhuatiri kayu-kayan akan memudaratkan pengunjung di Tasik Kenyir.

Menurutnya, kayu-kayu tersebut berada di sepanjang laluan dari check point pertama Sungai Petang ke Santuari Kelah dengan jarak kira-kira lima kilometer.

"Buat masa ini, pihak KETENGAH telah mengalihkan kayu-kayu dan kita ikat di tepi tasik. Cuma, kita bimbang sekirang berlaku kepala air yang agak besar, ikatan itu akan terlerai kerana ia tidak begitu kuat.

"Jadi, kita masih lagi menunggu 'green light' daripada Jabatan Perhutanan Negeri untuk bawa keluar segera," katanya dalam sidang media selepas majlis Moreh KETENGAH bersama media di Hotel Primula, semalam.

Tambahnya, dari segi pemandangan ia tidak menjejaskan namun proses membawa keluar kayu-kayu itu tetap perlu disegerakan.

"Ia tidak mencacatkan pemandangan dan terlihat cantik kerana kita dapat lihat kayu-kayu lama tersusun di tepi tasik. Tetapi, ia amat berbahaya sekiranya berlaku situasi arus deras, kepala air dan sebagainya," katanya.

 


Tag: