• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Jabatan Pertanian Aktif Beri Insentif Pada Petani

Oleh: Fatimah Din 

MARANG , 11 Julai - Pejabat Pertanian Daerah Marang aktif memberi pelbagai insentif kepada petani.

Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Mohd Haizul Nik Supian berkata, insentif berkenaan bagi merangsang aktiviti pertanian dan dilaksanakan dalam pelbagai bentuk.

"Termasuk khidmat nasihat pertanian, pasukan teknikal bagi penyakit tanaman, kesuburan tanah, selain insentif infrastruktur melalui peralatan pertanian, benih, dan pembersihan kawasan tanah terbiar bagi pembangunan projek pertanian.

"Terdapat juga bantuan dalam bentuk geran pemadanan daripada pihak kementerian serta bantuan bencana bagi membantu meringankan beban petani menghadapi musibah kerosakan tanaman akibat bencana banjir dan kemarau," ujarnya.

Menurut beliau,jenis tanaman yang menyumbang kepada pengeluaran daerah ini adalah tanaman kontan seperti tembikai, jagung dan labu manis yang banyak diusahakan di kawasan Marang pantai. 

"Manakala di kawasan darat lebih fokus kepada tanaman sayuran dan buah-buahan seperti durian dan duku," ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Pertanian juga menyediakan bantuan peralatan kepada para pengusaha industri asas tani seperti pemprosesan cili boh, rempah ikan, kerepek, nisan dan lain-lain lagi yang turut menjadi penyumbang pengeluaran hasilan pertanian di Terengganu.

"Jabatan ini juga turut aktif mengadakan pelbagai program kepada masyarakat seperti Pertandingan Durian Kampung Premium Terbaik dan program gotong-royong bersama petani untuk membasmi musuh tanaman serta pelbagai lagi program berkaitan.

"Antara program terdekat yang bakal diadakan adalah program penyasaran diesel subsidi dengan menyediakan promosi pada Hari Terbuka Budi Madani pada 22 Julai nanti, " ujarnya.


Tag: