HULU TERENGGANU, 16 Julai – Projek tanaman jagung hybrid di Kampung Chepoh di sini mula menampakkan hasil yang amat memberangsangkan selepas 75 hari diusahakan di atas tanah seluas enam ekar yang sebelum ini merupakan kebun getah.
Projek yang bermula sejak Mei 2025 itu dibiayai melalui Dana Sejati Madani berjumlah RM99,000 dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) yang menyewakan kawasan berkenaan pada kadar RM1,800 setahun.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chepoh, Ibrahim Deraman, 65, inisiatif itu membuka peluang pendapatan baharu kepada penduduk kampung yang majoritinya bergantung kepada hasil pertanian sebagai punca rezeki.

“Dulu sini kebun getah, tapi pendapatan tak menentu.
"Sekarang kami cuba jagung hybrid, benih dari Thailand dan Alhamdulillah dalam 75 hari dah boleh tuai,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, beliau mengakui tanaman jagung tidak terlepas daripada pelbagai cabaran.
"Antara masalah utama yang kerap dihadapi peserta projek ialah serangan kera, tikus, dan ulat yang merosakkan pokok jagung, terutamanya ketika jagung mula berbuah.
“Kalau tak berjaga, esok pagi tengok banyak yang kena makan kera dan tikus. Ulat pun cepat rosakkan tongkol,” jelasnya.
Sehingga kini, hasil tuaian hanya dapat menampung permintaan penduduk sekitar kerana pengeluaran masih belum mencukupi untuk pasaran luar.
Namun begitu, purata hasil jualan yang direkodkan dalam hampir dua minggu kebelakangan ini telah mencecah RM8,000, sekali gus menunjukkan potensi pendapatan yang baik untuk musim akan datang.
“Ini satu permulaan baharu untuk Kampung Chepu. Kalau hasil makin baik, bolehlah kami perluaskan kawasan tanaman dan bantu lebih ramai petani muda,” tambah Ibrahim
Antara peserta projek ialah Che Wan Khadhijah Che Wan Deraman, 68, yang telah lebih 15 tahun bergiat aktif dalam bidang pertanian.
“Sejak umur 50 lebih saya tanam macam-macam seperti pisang, sayur kampung, ubi. Sekarang cuba jagung hybrid pula.
"Anak-anak saya pun tolong sama,” ujarnya yang kelihatan bersemangat ketika mengutip hasil.
Seorang lagi peserta, Noraini Shafie, 56, berkata penglibatan beliau dalam projek tersebut bukan sahaja dapat menambah pengalaman baharu, malah memberi peluang untuk mengisi masa selepas bersara.
“Dulu saya berhijrah ke Sabah, ikut suami yang bertugas sebagai kakitangan Felda Global Ventures (FGV).
"Lepas suami pencen, kami balik kampung. Saya cuba tanam jagung supaya ada aktiviti berfaedah dan boleh tambah pendapatan,” katanya.
Noraini menjelaskan selain untuk jualan, sebahagian hasil tuaian juga dikongsi bersama ahli keluarga dan jiran tetangga.
Setiap peserta menanam kira-kira 2,000 pokok jagung setiap seorang. Selepas musim pertama selesai, tanaman akan diteruskan dengan varieti jagung tetap yang dijangka memberi hasil lebih stabil.
Projek ini turut mendapat bimbingan teknikal dan pemantauan berkala daripada jabatan pertanian serta sokongan pihak berkaitan.