• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jalinan Kerjasama Masjid, AADK Dekati Komuniti Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Satu Program 'Community Empowerment' telah diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Isra’ Mikraj di Masjid Tengku Nik Haji, Batu Buruk anjuran pihak masjid tersebut dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). 

Majlis tersebut telah dimulakan dengan solat maghrib berjemaah diikuti kuliah maghrib khas bersempena peristiwa Isra' dan Mikraj yang disampaikan oleh Pegawai Agama Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), Ustaz Syukri Harun.

Seterusnya, Penolong Pegawai AADK, Wan Mohd Nazarnoor Wan Ramli telah menyampaikan taklimat kepada jemaah masjid yang hadir.

“Kehadiran kita pada malam ini ialah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya dadah.

“Di samping itu, pihak kami juga telah mengedarkan nombor talian ‘hot line’ bagi memudahkan orang ramai untuk membuat aduan,” kata Wan Mohd Nazarnoor dalam ucapannya.Beliau juga menjawab beberapa soalan yang ditanya oleh hadirin yang hadir baru-baru ini.

Taklimat disampaikan oleh Penolong Pegawai AADK

Majlis tersebut juga telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

“Kita sebagai orang Muslim bukan sahaja perlu menjadi seorang yang soleh, tetapi juga perlu menjadi orang musleh untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.

“Justeru, majlis yang diadakan pada malam ini sangat bermanfaat dan semoga ia dapat diamalkan dalam kehidupan kita,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapan beliau. 

Tambahnya, beliau mengucapkan tahniah atas penganjuran ini dan terima kasih atas jemputan.

Di samping itu, majlis tersebut juga telah dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah dan pameran yang telah disediakan oleh pihak AADK.

ADUN Batu Buruk Menyampaikan Ucapan