• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Jalur Gemilang Gergasi Atas Bumbung Stadium


KUALA TERENGGANU, 9 Ogos -Sebagai tanda menghargai kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos setiap tahun empat pemuda sanggup menggadai nyawa menyiapkan mural Jalur Gemilang gergasi di atas bumbung Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada kali ini.

Mural Jalur Gemilang bersama bendera Terengganu bersaiz 90 x 40 kaki persegi itu disiapkan Mohd Fahmi Abdullah Sani, 29; Zulkarnain Abd Latif, 39; Wan Asri Nizam Wan Ismail, 36 dan Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin, 33, dalam tempoh 20 hari bermula 15 Julai lalu.

Mohd Fahmi berkata, kemahiran melukis mural membuatkan mereka terpanggil untuk menghasilkan mural Jalur Gemilang sebagai tanda sumbangan meraikan kemerdekaan negara.

“Sumbangan itu mungkin tidak sebesar mana, namun ia memberi kesan positif kepada orang ramai terutama bagi penghuni bangunan berdekatan yang boleh melihatnya dari atas,” katanya.


Menurutnya, walaupun mereka sudah lama aktif dalam bidang melukis mural, ini kali pertama mereka menyiapkan mural gergasi di permukaan lantai dan di atas seperti itu yang turut mendapat sokongan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Cabaran lebih besar berbanding melukis mural gergasi di dinding bangunan kerana ia memerlukan teknik dan kaedah tersendiri.

“Proses untuk memeriksa lukisan mural di atas bumbung itu juga memenatkan kerana terpaksa naik ke bangunan lebih tinggi untuk melihat keseimbangan mural berkenaan daripada pandangan atas,” katanya yang tinggal di Kampung Jalan Terkukur.


Bagi Zulkarnain pula, dia terharu dan bangga apabila melihat hasil kerja keras mereka di atas bumbung SSINS itu.

Katanya, walaupun pernah menghasilkan banyak mural di dinding bangunan di negeri itu, peluang menghasilkan mural Jalur Gemilang adalah penghormatan yang tidak ternilai harganya.

“Memang kami keletihan kerana terpaksa menyiapkan mural itu pada kedudukan tinggi di samping menggunakan teknik khusus yang lebih rumit namun rasa penat itu hilang apabila melihat hasilnya.

“Banyak cabaran perlu ditempuh sepanjang menyiapkan mural ini termasuk lantai licin, angin kuat serta hujan secara tiba-tiba.

“Namun ia sudah menjadi asam garam sebagai pelukis mural dan ia berbaloi kerana hasil seni itu secara tidak langsung menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

“Selain itu, kami di bawah Kelab Red Rebel Art Squad juga bersedia menawarkan khidmat secara percuma menyiapkan mural Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di sekolah yang memerlukan dengan syarat mereka perlu menyediakan keperluan untuk menghasilkan mural,” katanya.


Tag: