• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

JAM Paka Gerak Anggota Bersih Rumah Mangsa Banjir

DUNGUN, 26 Disember - Skuad Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka segera menggerakkan anggotanya untuk misi membersih rumah mangsa yang terjejas banjir di gugusan Felda Rasau Kerteh.

Ketua Operasi JAM Paka, Hafizuddin Norul Azhar berkata, selepas banjir yang melanda kawasan gugusan Felda Rasau Kerteh yang terdiri daripada Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya mulai surut sejak semalam, ramai mangsa memerlukan khidmat mereka untuk membersih rumah.

"Beginilah kebiasaannya selepas air surut dari banjir. Habis bersepah dalam dan luar rumah.

"Oleh sebab itu, kita segera gerakkan skuad kita untuk membersih kotoran lumpur yang ada masih lagi tidak keras dan memudahkan untuk membersihnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kerja pembersihan di kawasan Felda Kerteh 4, semalam.

Tambahnya lagi, kerja-kerja pembersihan agak memakan masa bagi sesebuah rumah.

"Jadi, kita teruskan lagi dengan tenaga anggota yang ada kira-kira 20 orang untuk membersih beberapa lagi buah rumah yang tinggal," ujarnya.

Terdahulu, kejadian banjir yang melanda gugusan Felda Rasau Kerteh pertama kali dalam sejarah sehingga mengakibatkan ramai penduduk menjadi mangsa banjir.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato' Satiful Bahri Mamat merakamkan penghargaan kepada JAM Paka atas usaha mereka yang pantas dalam menangani situasi pasca banjir.

"Terima kasih Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka yang segera melancarkan skuad misi bersih pasca banjir Felda Kerteh 4 sejak dari pagi tadi lagi," katanya.

Beliau juga menyeru kepada penduduk setempat agar terus bersatu dalam menghadapi ujian ini.

"Kita harus bersama-sama melalui cabaran ini dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Semoga bantuan dan sokongan terus mengalir untuk membantu mereka yang memerlukan," tambahnya.


Tag: