• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

JAM Rantau Abang Gerak Anggota Bersih Rumah Mangsa Banjir

DUNGUN,31 Disember- Jabatan Amal Malaysia (JAM) Rantau Abang segera menggerakkan anggotanya untuk turun padang bagi membantu mangsa banjir membersihkan rumah sejurus air mulai surut di daerah ini.

Ketuanya, Muaz Anuar berkata, anggota JAM Rantau Abang telah bersiap sedia lebih awal dalam misi membantu mangsa banjir yang memerlukan bantuan membersihkan rumah.

“Ini sudah menjadi rutin tahunan kerana hampir setiap tahun kami akan turun bagi melakukan ops pasca banjir selepas air mula surut dan penduduk mula pulang ke rumah.

“Beginilah keadaan selepas berlakunya banjir, penuh dengan lumpur dan sampah sarap yang bersepah di dalam rumah dan luar rumah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kerja pembersihan di Kampung Wa, semalam.

Mengulas lanjut katanya,ops pasca banjir kali ini turut disertai oleh sukarelawan daripada golongan belia, beliawanis dan masyarakat setempat yang berganding bahu menyumbangkan tenaga membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

“Kebiasannya untuk membersihkan sesebuah rumah itu akan memakan masa juga disebabkan oleh barang-barang yang perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum memulakan pembersihan.

“Kira-kira seramai 20 orang anggota Jabatan Amal Rantau Abang dan dibantu oleh sukarelawan telah digerakkan dalam ops pasca banjir kali ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fahdli Rahmi merakamkan penghargaan kepada anggota JAM Rantau Abang yang telah menyumbangkan tenaga bagi menjayakan misi ops pasca banjir di sini semalam.

“Terima kasih juga kepada seluruh sukarelawan yang sudi meluangkan masa untuk bersama berganding bahu membantu mangsa banjir ini,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada semua masyarakat setempat untuk terus bersatu padu dan rapatkan saf ukhuwah bagi menghadapi ujian daripada Allah S.W.T ini secara bersama.

“Setiap ujian yang diberikan kepada hambanya itu pasti ada hikmah disebaliknya, percayalah bahawa ganjaran pahala yang besar sedang menanti buat orang yang sabar dalam menempuh setiap ujian.

Semoga bantuan dan sokongan daripada masyarakat yang lain terus mengalir bagi membantu penduduk yang terlibat banjir baru-baru ini,” ujarnya.


Tag: